Artikel Pilihan

KENAPA SUPERCAR GUNA AWD BERBANDING DENGAN RWD?

Apakah maksud supercar? Adakah kereta yang dipandu oleh Batman boleh dikategorikan sebagai supercar? Bagaimana pula dengan sport car? Bagaimana pula dengan hypercar? Banyak pula perkataan pelik pelik yang cuba diketengahkan oleh penulis pada hari ini, sudahlah pembaca tengah pening dengan kemelut politik negara.

Kereta sport atau sport car adalah kereta biasa dengan kuasa kurang daripada 500 kuasa kuda, boleh memuatkan 4 atau 5 orang dalam satu masa, dan pada masa yang sama pemandu boleh menggunakan kereta tersebut untuk semua aktiviti harian. Ini termasuklah pergi ke masjid, ke pasaraya ataupun ke parlimen.

Biasanya sport car akan memiliki ciri-ciri seperti enjin di depan, namun ada juga sport car yang menggunakan susun atur enjin dipasang di bahagian tengah seperti Alfa Romeo 4C. Kesemua kuasa enjin akan disalurkan kepada tayar belakang, namun Volkswagen, Audi dan Honda memilih untuk menggunakan pacuan tayar depan. Resepinya mudah, jadikan kereta ringan, mudah dikawal walaupun kuasa enjin tidaklah besar sangat.

Supercar pula hierarkinya akan sentiasa berada di atas sport car. Ciri utama supercar pula ialah kuasa enjin biasanya melebihi 500 kuasa kuda. Bagi memberikan berat yang sekata pada cesi, enjin supercar akan dipasang di bahagian tengah iaitu di belakang pemandu. Ini menjadikan agihan berat supercar pada roda depan dan belakang pada ratio 50:50

Disebabkan itu, kabin penumpang terpaksa dikecilkan dan hanya mampu memuatkan 2 penumpang dalam satu masa. Fokus utama supercar ialah keseronokan pemanduan. Semua aspek yang dibuat bagi memastikan kereta ini memliki pecutan yang pantas, brek yang melekat dan prestasi di selekoh bagaikan menaiki roller coaster. Dan tak semua pemandu ada keupayaan untuk memandu supercar.

Sebagai contoh Aston Martin GT12 memiliki 592 kuasa kuda dan 625Nm tork, Lamborghini Huracan LP610 hadir dengan kuasa 602 kuasa kuda dan 560Nm tork, Honda NSX 573 kuasa kuda dan 645Nm tork dan Mc Laren 720S dengan kuasa 710 kuasa kuda dan 770Nm tork.

Jadi apa pula definasi hypercar? Kami sertakan contoh hypercar di sini seperti Pagani Huayra BC (6000cc, 830 kuasa kuda dan 1100Nm tork), Porsche 918 Spyder ( 4800cc + motor elektrik, 877 kuasa kuda dan 1280Nm tork) dan Koenigsegg Agera R (5000cc Twin Turbo V8, 1115 kuasa kuda dan 1200Nm tork).

Kesemua kereta di atas memiliki sesaran enjin yang besar, disertakan dengan turbo atau motor elektrik yang menghasilkan lebih 800 kuasa kuda dan 1000Nm tork. Kesemua kereta di atas menggunakan enjin yang dipasang pada bahagian tengah cesi.

Jika dipandu di atas jalan raya, mungkin anda menggunakan 1/10 sahaja kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin. Pemandu pula mestilah seorang yang pakar bagi mengendalikan kuasa yang dihasilkan. Ia tidak boleh ditekan dengan terburu-buru dan perlu dilakukan dengan penuh berhati – hati. Hanya pemandu professional yang boleh menzahirkan kemampuan sebenar hypercar di litar ujian.

Memandu pada halaju yang tinggi boleh diibaratkan anda bekerja sebagai doktor gigi harimau. Sebaik sahaja kerja anda selesai, anda berasa sangat lega kerana harimau tersebut tidak membaham anda sebagai sarapan pagi. Mungkin anda boleh menggunakan hypercar untuk kegunaan harian, namun ia diibaratkan sebagai memakai baju melayu bersampin untuk pergi ke gim.

Hampir semua supercar dan hypercar memiliki satu persamaan iaitu enjin kereta dipasang pada bahagian tengah cesi. Disebabkan enjin merupakan komponen yang paling berat, kedudukanya pada tengah cesi akan memberikan agihan berat yang sekata pada semua roda. Momen inersia kereta akan berkurang dan kereta akan mudah untuk dikendalikan ketika mengambil selekoh.

Berat enjin yang cenderung ke arah belakang juga akan membantu tayar kereta mendapatkan cengkaman lebih ketika pecutan. Keadaan ini terjadi ketika kereta mengalami masalah squat dan berat enjin menekan tayar belakang menghasilkan cengakaman yang lebih. Ketika membrek, berat enjin akan membantu tayar depan membrek dengan efisyen ketika fenomena dive.

Ia juga akan membantu sistem cengkaman Traction Control, sistem kawalan kestabilan ESC dan juga brek ABS bekerja dengan lebih efisyen. Kereta boleh membrek dengan pantas dan lebih stabil. Malah berat yang sekata ini juga membantu sistem gantungan kereta bekerja dengan lebih baik.

Namun susun atur ini ada keburukan juga. Dari segi dinamik pengendalian, supercar dan hypercar dengan enjin di bahagian tengah adalah sangat stabil, tapi jika dipandu melebihi had fizik kestabilan maka ia akan hilaang kawalan dan amat susah untuk pemandu kurang pengalaman membetulkan keadaan.

Salah satu sebabnya ialah cengkaman pada semua tayar adalah sama. Tiada satu tayar pun yang ada cengkaman lebih menjadikan usaha membetulkan kereta yang sedang berputar sangat sukar. Keadaan ini menjelaskan kenapa sesetengah supercar dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda AWD . Salah satu sebab yang jelas ialah sistem cengkaman pada permukaan yang baik.

Sistem AWD juga membenarkan lateral force pada tayar jauh lebih baik berbanding dengan sistem pacuan dua roda. Dalam keadaan permukaan jalan yang mencabar seperti jalan licin, bersalji dan juga berais sistem AWD membekalkan cengkaman yang jauh lebih baik kepada supercar dan menghalang pemandu daripada melakukan kesilapan semasa memandu. Kalau dah terbabas kos kerosakan boleh tahan mahal harganya.

Salah satu sebab lagi mengapa supercar menggunakan sistem AWD ialah kuasa kuda dan tork yang dihasilkan oleh enjin amat besar. Sebagai contoh Lamborghini Huracan yang datang dengan enjin 5200 V10 yang datang dengan 602 kuasa kuda dan 560Nm tork. Tork 560Nm boleh diagihkan kepada 4 tayar berbanding dengan 2 tayar belakang sahaja.

Ia akan menjadikan pecutan Huracan semakin pantas disebabkan tork pada tayar dapat ditukarkan kepada pecutan dengan efisyen. Adalah malang jika apabila pemandu menekan pedal minyak rapat ke lantai, tayar belakang hanya berputar dan mengeluarkan asap sahaja sedangkan apa yang perlu ialah pecutan ke depan yang pantas.

Tags
Google ads
Back to top button