Artikel Pilihan

KENAPA SUV ATAU MPV SEKARANG ADA RUANG TAMBAHAN DI RUANG KARGO?

Siapa pemilik Perodua Aruz di sini? Cuba anda buka pintu ruang belakang dan cek berapa luas ruang kargo yang disediakan. Jawapannya ialah sekitar 213 liter di belakang kusyen barisan ke tiga. Sebenarnya ia ruang yang agak luas bagi sebuah SUV atau MPV segmen B.

Bagi Honda BR-V, ia menawarkan ruang kargo yang lebih besar sedikit iaitu pada 223 liter di belakang kusyen barisan ke tiga. Ini bermakna dengan semua tempat duduk diisi dengan 7 penumpang, Perodua Aruz dan Honda BR-V mampu menawarkan ruang yang cukup untuk menyimpan beg bagi perjalanan jarak jauh

Untuk rekod pula, Perodua Alza dan Toyota Veloz pula hanya menawarkan ruang kargo sebesar 137 liter sahaja. Angka ini jauh lebih kecil berbanding dengan saiz yang ditawarkan oleh Perodua Aruz dan Honda BR-V. Bagi Proton Exora pula, ia hanya menawarkan ruang sebesar 132 liter sahaja.

Tapi perbezaan di sini ialah walaupun Honda BR-V dan Perodua Aruz menawarkan ruang yang besar, model-model ini tidak menawarkan ruang tambahan (juga disebut sebagai luggage compartment) di bawah ruang kargo. Proton Exora, Toyota Veloz dan juga Perodua Alza pula menawarkan ruang di bawah ruang kargo sebagai ruang tambahan.

Ia boleh digunakan untuk menyimpan kasut, barang-barang peribadi dan juga aksesori penjagaan kereta di sini. Eh bukan ke lagi senang untuk bukak ruang tambahan ini dan jadikan ruang kargo yang lebih luas? Tak perlu buat compartment khas ini, jimat kos dan ruang kargo jadi lebih besar kan.

Isu ini adalah isu sama yang penulis hadapi bila memandu uji Mazda CX-8 dengan kapasiti kargo 209 liter dan juga Volkswagen Tiguan Allspace dengan 239 liter ruang kargo. Bagi Volkswagen Tiguan, ketika perjalanan ke Padang Besar, penulis buka sahaja penutup compartment ini dan jadikan ruang kargo lebih besar.

Macam ni sebenarnya, pengeluar memang perlukan luggage compartment ini ditutup bagi menjadikan lantai ruang kargo menjadi rata, bermula dari pintu belakang sehinggalah ke tempat duduk barisan kedua apabila ia dilipat. Jika ia tidak ditutup, ruang ini akan berlubang antara kusyen barisan ketiga yang dlipat atau ditanam dalam lantai

Dari segi estetik, ia nampak kurang menarik dan lebih baik kita jadikan ruang berlubang ini compartment tambahan dengan memberikannya penutup. Barulah nampak lebih menarik dan jadikan ruang kargo kereta lebih rata dan boleh digunakan dengan lebih efisyen.

Bagi Perodua Aruz dan juga Honda BR-V, apabila kusyen barisan ke tiga perlu dilipat ia hanya boleh dilipat dan ditolak ke depan. BR-V memberikan ruang sehingga 539 liter manakala Aruz menyediakan sehingga 514 liter bila kusyen barisan ketiga dilipat.

Sekiranya kusyen barisan kedua dan ketiga dilipat, maka Perodua Aruz dan Honda BR-V tidak menyediakan satu ruang lantai yang rata. Akan wujud satu ruang kosong dari pintu belakang ke kusyen barisan ketiga yang dilipat.

Jadi anda suka yang mana satu, ruang lantai yang rata seperti Alza, Veloz atu Exora? Atau anda lagi suka ruang kargo yang besar macam Aruz dan BR-V tapi tidak menyediakan ruang lantai yang rata?

Google ads
Back to top button