Buletin

KERAJAAN UMUM PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI PRIHATIN TAMBAHAN RM10 BILION. BANTU ALIRAN TUNAI PKS

Pada 27 Mac lalu, kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN yang bernilai RM250 bilion.

Sebaik sahaja PRIHATIN diumumkan, kerajaan telah terima banyak maklum balas daripada orang ramai. Ramai yang bersetuju dan menyambut baik pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan.

Tetapi kerajaan juga menerima maklumbalas daripada persatuan-persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perniagaan kecil atau mikro yang meminta kerajaan meneliti semula manfaat yang mereka terima dalam pakej rangsangan ekonomi tersebut.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya sebentar tadi mengakui ada menerima surat, memorandum dan pandangan daripada banyak pihak.

Ini termasuklah daripada Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, USAHANITA dan banyak lagi.

Rata-rata memberi pandangan bahawa perniagaan mereka amat terjejas dan memerlukan bantuan tambahan daripada kerajaan.

“Saya sedar bahawa PKS merupakan tunjang utama ekonomi negara. Sektor ini menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini dan hampir 40 peratus kepada ekonomi.

“Oleh itu, adalah penting kita pastikan sektor PKS dapat terus cekal dan mampan dalam menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang melanda kita semua pada waktu ini.

“Antara cabaran utama yang dihadapi ialah masalah aliran tunai perniagaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Selain itu, para pengusaha PKS juga berhadapan dengan isu birokrasi dan pentadbiran yang menghalang akses segera terhadap bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan dalam pakej PRIHATIN,” jelas Muhyiddin.

Sehubungan itu, PM telah minta Menteri Kewangan untuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak pengusaha kecil dan sederhana. Tujuannya adalah untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi.

Hasil daripada semua usaha tersebut, kerajaan ingin mengumumkan Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau “PRIHATIN TAMBAHAN”.

Pakej tambahan berjumlah RM10 bilion ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan PKS dan seterusnya menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.

Langkah-langkah tambahan yang diambil ialah:

· Pertama, peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac yang lalu akan dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah seperti berikut:

− Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan. Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.

− Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.

− Akhir sekali, bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja. Melalui penambahbaikan ini, syarikat-syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan.

− Bantuan ini adalah untuk selama 3 bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan mendaftar dengan 4 PERKESO. Justeru, kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

− Bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka sekurangkurangnya untuk tempoh 6 bulan, iaitu dalam tempoh 3 bulan semasa menerima subsidi upah dan 3 bulan selepas itu.

Kedua, mewujudkan Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM2.1 bilion bagi semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan. Kerajaan akan menyediakan Geran Khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro yang akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

PKS mikro perlulah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menikmati kemudahan ini. Kerajaan akan memperolehi senarai PKS mikro yang layak daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Google ads
Back to top button