Buletin

1/3 PENGUSAHA PKS HANYA ADA ALIRAN TUNAI SEHINGGA MAC SAHAJA

Satu pertiga daripada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dilapor hanya mempunyai aliran tunai yang cukup untuk perbelanjaan bulan Mac sahaja. 

Itulah dapatan daripada kaji selidik “Kemapanan Perniagaan SME Sepanjang Krisis COVID-19” yang dijalankan oleh Persatuan SME Malaysia dengan kerjasama Bizsphere Brand & Marketing Group (Bizsphere). Kaji selidik yang dilakukan pada 29 Mac lalu itu berjaya mendapat maklum balas daripada 15,627 PKS dalam masa kurang 18 jam. 

Ia bertujuan untuk menilai sejauh mana tahap kemapanan perniagaan PKS sepanjang krisis COVID-19 dan impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Kami menerima panggilan telefon, emel dan mesej daripada PKS sejak hari pertama PKP dilaksanakan. Ramai yang memberitahu cabaran yang terpaksa dilalui dan bimbang tentang kemapanan perniagaan masing-masing. SME Malaysia sudah berkongsi semua maklum balas ini dengan pelbagai kementerian tetapi tidak mendapat sokongan sewajarnya. 

“Jadi, kami mengambil keputusan untik menjalankan kaji selidik untuk mengumpul maklumat daripada PKS,” kata Presiden Kebangsaan SME Malaysia, Datuk Micheal Kang. 

Kaji selidik tersebut dijalankan menerusi aplikasi Whatsapp dan tular dalam perkongsian Facebook. “BIZPHERE hanya mempunyai masa dua jam untuk menyediakan kaji selidik. Kami memaksimumkan pangkalan data PKS yang ada untuk mendapatkan maklum balas sebanyak mungkin. 

“Kami berjaya mengumpul 10,000 maklum balas dalam masa hanya 5 jam. Ia jelas menunjukkan betapa PKS mahu meluahkan masalah mereka kepada kerajaan,” jelas Pengurus Perundingan BIZPHERE, Yap Keng Teck. 

52.9 peratus kaji selidik diisi oleh PKS bersaiz kecil. Manakala bakinya dilengkapkan oleh SME mikro (22.3 peratus) dan PKS bersaiz sederhana (18.5 peratus). Kebanyakan PKS (53.3 peratus) PKS mempunyai kurang 75 orang pekerja. 

Kaji selidik itu mendapati lebih daripada separuh (51.2 peratus) PKS menjangkakan kerugian lebih RM500,000 dalam tempoh enam bulan bermula Mac hingga September 2020. 

“Cabaran utama PKS adalah aliran tunai. Mereka sudah dapat menjangkakan tiada aliran tunai sekurang-kurangnya tiga bulan berikutan pelaksanaan PKP.

“Tetapi, PKS tetap perlu membayar gaji pekerja, sewa dan bayaran lain secara penuh. Hampir satu pertiga atau 33.3 peratus PKS mempunyai aliran tunai yang cukup untuk bulan Mac sahaja. 

“Sementara 37.8 peratus cuma boleh bertahan sehingga April 2020. Hanya 26.3 peratus PKS mendapati pakej rangsangan kerajaan boleh membantu memastikan perniagaan mereka terus berjalan. Biarpun wujud tambahan pinjaman sebanyak RM100 bilion kepada PKS di bawah Pakej Prihatin, sebanyak 77.6 peratus masih belum memohon dana bantuan khas. 

“PKS bimbang untuk memohon kerana kebanyakan mereka sudahpun mempunyai pinjaman sedia ada. Ketidaktentuan ekonomi dalam tempoh enam bulan akan datang dijangka melemahkan keupayaan membayar hutang dan berdepan risiko bankrap. Malah 4 peratus daripada 22.5 peratus yang memohon pinjaman telah ditolak oleh bank,” kata Micheal. 

Harus tahu bahawa PKS menggaji hampir 70 peratus tenaga kerja negara yang kini berjumlah 10 juta orang. Jika satu perempat atau 25.6 majikan terpaksa membuang pekerja, dianggarkan lebih 2/56 juta orang akan hilang mata pencarian. 

Ini satu bencana besar jika tidak diuruskan dengan baik. Justeru, kerajaan perlu menilai langkah-langkah penting supaya perkara ini tidak berlaku. – SME Malaysia 

Tags
Google ads
Back to top button