
KERETA CORAK KAYU INI ASALNYA NISSAN ARIYA! IDEA KREATIF DARI AS
Tema pengubahsuaian kenderaan di Amerika Syarikat (AS) sememangnya pelbagai jenis dan seronok untuk diikuti. Sebagai contoh sebuah Nissan Ariya diubah suai dengan konsep California-style surf “woodie” wagon dan diberi nama Ariya Surfwagon.
Ariya adalah sebuah crossover elektrik pertama Nissan dan pengubahsuaian yang dibawa oleh Tommy Pike Customs (TPC) dari Carolina Selatan, AS untuk Nissan AS ini berjaya menonjolkan watak yang berbeza.
Banyak sudut atau senang cerita dari tayar hingga ke bumbung boleh dijadikan tumpuan.

Badan Ariya Surfwagon ditampal pembalut vinil reka khas seperti panel kayu dan riasan krom seperti kruiser pantai era lalu.
Idea yang dibawa TPC ini memang kreatif dan layak diberi anugerah jika dipertandingkan.
Satu lagi yang menonjol adalah roda 20 inci smoothie dengan penutup tengah krom dan dipadan bersama tayar dinding putih. Badan kereta direndahkan dengan suspensi reka khas.
Di atas bumbung dipasang rak yang memegang dua papan luncur air saiz tujuh kaki.

Konsep pengubahsuaian Surfwagon ini ringkas sahaja tetapi idea yang dibawa benar-benar menonjol.
Surfwagon dihasilkan bagi mencetuskan perbualan dan imaginasi tentang pengubahsuaian kereta elektrik.
Selari dengan penerimaan kereta elektrik pada masa kini, tidak mustahil ia akan menjadi objek pengubahsuaian penala dan pemilik.

Selain ubah suai yang dilakukan, Surfwagon kekal standard seperti Ariya 2023 pasaran AS.
Sebagai rujukan, Ariya 2023 ditawarkan dalam lima varian dengan pilihan aras permulaan Engage digerakkan motor elektrik 160 kilowatt (kW) (214 kuasa kuda / hp).
Empat lagi varian iaitu Venture+, Evolve+, Empower+ dan Premiere digerakkan motor elektrik 178 kW (238 hp) dan kesemua varian mempunyai tork 300Nm.

Ariya Engage mempunyai kapasiti bateri 66 kilowatt jam (kWj) dengan penggunaan 63 kWj. Empat lagi varian pada kadar 91 kWj dengan penggunaan 87 kWj.
Jarak pemanduan turut berbeza dengan Ariya Engage hingga 347 kilometer (km) dan Ariya Venture+ hingga 489 km. Ariya Evolve+, Empower+ dan Premiere pula hingga 465 km.
Harga Ariya bermula daripada AS$44,485 (RM210,699.24) hingga AS$54,625 (RM258,731.85) untuk kesemua varian pacuan dua roda yang dinyatakan di atas.
Kredit foto: Nissan
BACA: NISSAN VERSA (ALMERA) 2023 AMERIKA SYARIKAT DENGAN V MOTION BAHARU!
BACA: NISSAN NV200 VANETTE 4WD 2022 DIPERKENAL DI JEPUN
BACA: NISSAN ALMERA SPORTECH-X, 300 UNIT SAHAJA DI THAILAND!







