Artikel PilihanPandu Uji

KERETA EKSEKUTIF BAJET  

Semua orang mahu bergaya, itu lumrah manusia. Tapi tak ramai yang mampu nak bergaya. Kereta eksekutif dicipta untuk golongan eksekutif yang mampu menunjukkan kejayaan mereka. Paling penting, kereta ini memberikan keselesaan untuk pemanduan harian ke tempat kerja.

Mercedes-Benz-W124-mekanika (1)

Lazimnya, kereta eksekutif ialah sedan dengan enjin bersesaran lebih 2,000cc dan dilengkapi pelbagai aksesori yang mewah.

Namun, bagi mereka yang mempunyai bajet ciput, tetapi berhajat, kereta eksekutif boleh dibeli dengan harga yang cukup murah. Bawah RM20,000 pun dah boleh dapat. Tak percaya? Jom tengok senarai 5 buah kereta eksekutif mampu milik di Malaysia.

Proton-Perdana-V6-mekanika (2)

Proton Perdana

Kita mulakan senarai dengan Proton Perdana, satu-satunya kereta model eksekutif keluaran tempatan. Kereta ni cukup banyak digunakan sebagai kenderaan rasmi pegawai-pegawai kanan kerajaan sejak tahun 1995. Model pertama Perdana didatangkan dengan enjin 4G63 SOHC bersama pilihan kotak gear manual dan automatik.

Pada ketika tu, Perdana ialah kereta eksekutif termurah di pasaran jika dibandingkan dengan model sama buatan Jepun atau Eropah. Aksesori standard model ni termasuk tingkap berkuasa penuh, auto cruise, pemain CD dan tempat duduk dibalut fabrik mewah.

Proton-Perdana-V6-mekanika (3)

Pada tahun 1999, Proton melancarkan model Perdana V6 yang didatangkan dengan enjin 6A12 V6 dan sistem gantungan talaan Lotus. Model V6 hanya didatangkan dengan kotak gear automatik dan lebih mewah berbanding Perdana generasi pertama. Ia didatangkan lengkap dengan tempat duduk kulit, sistem penukar CD, rim aloi 16 inci dan bodykit penuh.

Pada tahun 2002, Proton melancarkan model V6 facelift yang menggunakan bodykit rekaan baru. Dari segi harga, Proton Perdana boleh dibeli bawah RM10,000 untuk model terawal.

Tapi macam anda biasa dengar, hati-hati ketika membeli model V6 yang mempunyai masalah kotak gear kronik.

Honda-Accord-SV4-mekanika (1)

Honda Accord SV4

Ya, kereta Honda juga boleh dibeli dengan harga murah. Model terbaik bagi kami ialah Accord SV4 atau dikenali sebagai ‘Accord Jerung’. Accord ini dilancarkan sekitar tahun 1994 bagi mengganti model Accord SM4.

Ia mempunyai saiz badan yang cukup besar dan dengan reka bentuk sporty. Di Malaysia, Accord ini didatangkan dengan dua pilihan enjin. Eenjin F20A SOHC 16 injap 2,000cc dan F22A 2,200cc bersama pilihan sistem VTEC atau tidak.

Honda-Accord-SV4-mekanika (2)

Dari segi aksesori, Accord ini didatangkan dengan pilihan kotak gear manual atau automatik, sistem tingkap berkuasa, brek ABS dan cermin sisi kawalan elektronik. Tempat duduk kereta ini boleh dibalut dengan fabrik atau kulit mengikut pilihan.

Kalau bernasib baik, anda boleh membeli model CD6, model spec JDM yang didatangkan dengan enjin H22A DOHC VTEC. Antara aksesorinya ialah pengilap cermin belakang, cermin sisi boleh lipat automatik, cruise control, kawalan pendingin hawa digital dan sistem beg udara berkembar.

Model ini macam Perdana, boleh dibeli pada harga bawah RM10,000. Tapi untuk model CD6, harganya boleh melepasi bajet RM20,000 kita.

Toyota-Camry-SV10-mekanika

Toyota Camry XV10

Kalau ada Accord, tentu lah ada Camry. Toyota Camry sejak dulu lagi terkenal sebagai kereta eksekutif pilihan ramai yang mahukan kereta lasak, selesa dan reka bentuk yang konservatif. Dalam erti kata lain, kereta pilihan otai.

Walaupun kereta Camry ini nampak langsung tak sporty berbanding Accord, ia didatangkan dengan enjin 5S-FE 2,200cc yang dipadankan dengan kotak gear 4 kelajuan automatik.

Toyota-Camry-SV10-mekanika1

Sama seperti model eksekutif yang sezaman dengannya, Camry ini dilengkapi  tingkap berkuasa, sistem brek ABS, pemain CD dan sistem gantungan yang cukup selesa.Terima kasih kepada pengalaman Toyota menghasilkan model Lexus.

Harga Camry ini dijual di pasaran terpakai di antara RM10,000 hingga RM15,000. Satu perlaburan berbaloi jika anda mahukan kereta yang besar dan selesa pada harga yang murah.

Nissan-Cefiro-A32-mekanika (2)

Nissan Cefiro A32

Selain Perdana V6, Nissan Cefiro A32 ialah satu lagi model yang didatangkan dengan enjin V6. Bagaimanapun, model terawal Cefiro ini hanya dibekalkan dengan enjin VQ30DE bersesaran 3,000cc ketika ia dilancarkan pada tahun 1994.

Enjin VQ memang cukup lancar dan senyap. Buktinya, ia memenangi beberapa anugerah enjin terbaik dunia pada eranya.

Nissan-Cefiro-A32-mekanika (1)

Bagaimanapun, harga cukai jalan yang tinggi di Malaysia membuatkan model ini boleh dibeli dengan harga yang cukup murah di pasaran terpakai. Pun begitu, Nissan akhirnya melancarkan versi 2,000cc pada tahun 1997 yang didatangkan dengan enjin VQ20DE.

Model Cefiro ini cukup digemari bagi mereka yang ingin mengubah suai dengan gaya VIP. Banyak aksesori gaya VIP dihasilkan untuk model ini. Harga jualannya berada sekitar RM15,000 hingga RM20,000. Model 2,000cc lebih mahal daripada  3,000cc (sebab cukai jalan lah, apa lagi).

Mercedes-Benz-W124-mekanika (2)

Mercedes-Benz W124

Senarai ini takkan lengkap kalau kami tak masukkan model Mercedes-Benz W124. Ini kereta paling tua dengan model pertamanya dibuat pada tahun 1984. Ia juga menjadi model paling lama diproduksi sehingga tahun 1995, 11 tahun!

Oleh kerana model ni cukup lama diproduksi, maka evolusinya juga terbaik. Dari segi keselesaan, bagi kami, kereta ni tiada tolok bandingannya. Dari segi aksesori, ia mungkin nampak sama saja dengan model-model eksekutif Jepun lain, tapi anda boleh rasa kualiti material yang digunakan lebih baik.

Mercedes-Benz-W124-mekanika (3)

Kalau nak, cuba beli model facelift, terutama ‘Masterpiece’ yang dilengkapi aksesori mewah seperti tempat duduk kulit, stereng rim kayu dan ‘Silver Engine’ yang lebih moden.

Biasanya, model berenjin besar dijual pada harga lebih murah, senang-senang boleh dapat bawah RM20,000. Tapi model 2,000cc mungkin lebih mahal (atas alasan yang sama dengan Cefiro) dan besar kemungkinan melepasi bajet RM20,000 kita.

Kalau tak kisah, anda boleh juga membeli model lama yang didatangkan dengan ‘Black Engine’. Ia lebih mudah untuk diselenggara, tapi kurang sikit dari segi kuasa. Model-model ini boleh dibeli murah, kadang-kala bawah RM10,000.

Google ads
Back to top button