
KERETA ELEKTRIK, KENAPA OTAI LAMA AUTOMOTIF TAK SUKA?
Pada awal pengenalan kereta elektrik, rasanya ramai pemandu dan pengguna jalan raya merasa agak skeptikal terhadap teknologi baru ini. Ia dibayangkan sebagai sebuah kereta kompak khas bagi kegunaan bandar, dengan jarak yang terhad dan laju yang dihadkan
Namun dengan kepantasan pembangunan teknologi motor elektrik, bateri dan trenkuasa, kereta elektrik menjadi semakin maju, semakin laju dan pecutannya mampu menyaingi kereta sport ataupun hypercar yang jauh lebih mahal
Tetapi kalau anda tanya pada pemandu otai yang membesar dengan jentera automotif tahun 1990an mendapati kereta elektrik bukanlah masa depan yang mereka inginkan selain kereta terbang. Ya kereta elektrik walaupun pecutannya lebih baik, tetapi masih gagal menarik perhatian orang lama dunia permotoran
Jadi kita cuba tengok apa yang berlaku sebenarnya.
1. Tak ada bunyi – ni adalah salah satu kelemahan kereta elektrik yang membunuh perasaan otai lama. Bunyi ekzos, enjin dan transmisi kereta petrol dan diesel adalah bunyi unik yang dihasilkan secara mekanikal. Setiap rekaan enjin, ekzos, aspirasi normal atau turbo akan menghasilkan bunyi yang berbeza
Kereta elektrik pula biasanya senyap dan hanya diwajibkan menghasilkan bunyi apabila dipandu pada halaju bawah 30km/jam atas faktor keselamatan pada pejalan kaki. Biasa bunyi yang dihasilkan adalah bunyi kartun atau bunyi seperti jual aiskrim. Hanya bunyi tayar sahaja yang dihasilkan oleh EV
2. Gegaran – pergerakan mekanika daripada enjin dan unit trenkuasa akan menghasilkan sedikit gegaran yang kadangkala sengaja dibiarkan masuk dan dirasai oleh pemandu pada kusyen. Gegaran ini akan terhasil apabila enjin dipulas dan transmisi bekerja dan menghasilkan hubungan 2 hala pada antara pemandu dan kereta
Ia akan bertindak sebagai respon dirasai oleh pemandu, seperti Alfa Romeo 156 yang akan bergegar atau Miata yang bergegar sedikit apabila pedal minyak ditekan. EV pula dirasakan seperti memandu telefon pintar dengan roda sahaja
3. EV berat – cakap la apa pun tapi hakikatnya kereta elektrik ini berat, walaupun berat ini tertumpu pada bahagian lantai kenderaan. Pertama berat ini akan terbahagi secara sekata pada bahagian bawah. Kedua berat bateri ini sangat berat dan adalah sukar untuk menemui kereta elektrik dengan berat bawah 2 tan
Berbeza dengan kereta berenjin yang lebih ringan dengan berat ini disumbangkan oleh berat enjin dan komponen transmisi. Berat ini pula akan tertumpu dimana enjin dan transmisi dipasang samaada di depan cesi (sport car/ family car), tengah cesi (hypercar/supercar) atau belakang cesi (Porsche)
Jadi karekter dan peel pemanduan setiap kereta adalah berbeza antara satu sama lain, menghasilkan personaliti yang berbeza antara kereta. Kereta elektrik pula, pemanduannya adalah hampir sama kecuali rasa talaan suspensi yang berbeza
4. Suspensi tak sedap – tak sedap dalam erti kata penulis ialah rekaan sistem suspensi tidak seimbang antara dinamik pengendalian dengan keselesaan. Semua ini disebabkan oleh berat bateri yang berlebihan berbanding dengan berat setangki petrol
Kalau pengeluar EV mementingkan dinamik pengendalian, maka sistem suspensi, penyerap hentak dan spring akan direka dengan keras bagi membolehkan EV mengambil selekoh dengan baik. Masalahnya ialah ia akan menjadi terlalu keras jika dipandu melalu speed bump di taman perumahan atau melalui jalan tidak rata
Dah macam naik kuda rasanya. Namun jika pengeluar EV mementingkan keselesaan, sistem suspensi, penyerap hentak dan spring akan direka dengan lembut. Masalahnya ialah ia akan menjadi terlalu membuai sehingga menyebabkan motion sickness ketika melalui jalan tidak rata
Nak sedap dalam semua keadaan, maka pilihan yang baik ialah penggunaan suspensi aktif yang memang terkenal dengan harga mahal dan hanya ditawarkan pada kereta elektrik pada julat harga mampu milik untuk golongan mahakaya
Maka feel pemanduan, olengan cesi, dinamik pemanduan dan keselesaan kereta elektrik masih belum capai keseimbangan seperti yang dimahukan oleh geng otai.
5. Sistem pengecasan yang kompleks – otai lama lagi suka mengisi minyak petrol atau diesel yang mengambil masa lam sedikit dari kentut. Mereka nak laju, isi RON 97 dan RON 100. Nak jimat duit tengah bulan isi RON 95. Nak bersih dan power isi diesel B7 bagi diesel
Otai lama malas nak fikir lokasi mana nak caj, berapa laju pengecasan, tak payah risau charger sistem down, masa pengecasan, sistem pembayaran yang komplek dan sukar difahami. Apatah lagi nak memahami proses pengecasan dan graf pengecasan. Isi minyak boleh terus tekan tak perlu nak tekan 20% slow bila tangki nak penuh
6. Rekaan luar EV yang menyedihkan – rekaan luar EV adalah seposen antara satu sama lain. Muka depan tumpul tanpa ada karekter yang tersendiri, jeriji bawah yang hampir sama, bumbung belakang dengan rekaan slope bagi menghasilkan aerodinamik yang baik dan akhir sekali hampir semuanya SUV
7. Rekaan dalam yang malas – untuk papan pemuka, memang kebanyakan rekaan pemuka EV terutama Tesla adalah pemalas. Tak ada tuil gear, tak ada tuil signal, tak ada cara untuk ubah halatuju penyaman udara, semua pakai touch screen
Mungkin ada lagi beberapa faktor lain yang menyebabkan pemandu lama enggan menggunakan kereta elektrik buat masa sekarang. Bukan mereka menolak teknologi dan ingin terus bernastolgia dengan memori lama, namun rekaan kereta elektrik dibuat tanpa memikirkan “human factor” dalam rekaan, hampir tiada unsur seni yang diketengahkan.