Buletin

KERETA HONDA TAHUN 2012-2022 MUDAH TERDEDAH KEPADA ANCAMAN PENGGODAM

Ini merupakan satu penemuan yang mengejutkan terutama bagi para pemilik kereta Honda.

Satu kajian yang dijalankan baru-baru ini oleh Kevin26000 dan Wesley Li menemukan bahawa terdapat kelemahan pada sistem kekunci Honda yang membolehkan para penggodam untuk menyahkunci dan menghidupkan enjin beberapa model kenderaan Honda dari jauh.

Kelemahan tersebut digelar sebagai RollingPWN, di mana ia mengeksploitasi satu komponen penting di dalam sistem kemasukan tanpa kunci Honda.

Sistem kemasukan itu menggunakan model kod bergulung di mana ia akan mencipta kod kemasukan baharu setiap kali pemilik menekan butang pada kunci, dan kod yang telah dikeluarkan sebelum ini tidak lagi boleh digunakan.

Namun begitu, Kevin26000 dan Wesley Li berjaya menemukan kod-kod lama yang boleh dikitar kembali dan digunakan semula untuk mendapatkan akses yang tidak diingini kepada kenderaan tersebut.

Antara model yang terjejas dibina dari tahun 2012 hingga 2022 termasuklah Civic 2012, XR-V 2018, CR-V 2020, Accord 2020, Odyssey 2020, Inspire 2021, Fit 2022, Civic 2022, VE-1 2022 dan Breeze 2022.

Namun, pihak pengkaji percaya kelemahan ini mampu menjejaskan kesemua kenderaan Honda dan tidak tertumpu kepada 10 model yang disebutkan tadi.

Untuk membetulkan kembali keadaan bukan satu perkara yang mudah.

Honda mungkin boleh membetulkan kembali kelemahan tersebut menerusi kemaskini over-the-air (OTA) namun banyak kenderaan yang terjejas tidak menyokong cara kemaskini tersebut, dan bilangan kenderaan terjejas yang agak besar menyukarkan mereka untuk membuat kempen panggil semula. – Techspot

Google ads
Back to top button