
URA-URA: BMW MAHU TAWARKAN Z4 M40I DENGAN TRANSMISI MANUAL, SAMA MACAM SUPRA
Selepas kehadiran model Toyota Supra dengan penawaran transmisi manual, BMW juga dikatakan bakal melaksanakan langkah yang serupa pada model Z4.
Menurut laporan daripada BMWBlog, pengeluar Jerman itu dilapor akan mengemaskini penawaran model Z4 M40i dengan kotak gear manual enam nisbah kelajuan pada tahun ini untuk pasaran Amerika Syarikat.
Berdasarkan penawaran terdahulu di beberapa pasaran, BMW ada menawarkan Z4 dengan padanan kotak gear manual, namun ia hanya dikhususkan untuk varian Z4 sDrive30i sahaja.
Kotak gear manual mungkin sekali satu penambahan yang menarik buat model Z4 M40i, apatah lagi terdapat ura-ura BMW akan menghentikan penjualan model ini pada pertengahan tahun 2025.
Sebagai makluman, BMW Z4 dan Toyota GR Supra banyak berkongsi komponen mekanikal seperti enjin dan unit transmisi daripada BMW.
Apa yang membezakan kedua-dua model tersebut adalah penggayaan luaran yang unik, serta pengalaman pemanduan yang tersendiri untuk setiap model.
BMW juga merupakan antara pengeluar yang masih lagi mahu mengekalkan penawaran transmisi manual untuk para peminat, dan ini mungkin sekali peluang terakhir anda untuk mendapatkan model bertransmisi manual sebelum dunia beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik pada masa hadapan. – BMWBlog