Buletin

PARKIR FORD FIESTA DI IPD, BAWA LARI HONDA CIVIC POLIS

Seorang lelaki melarikan sebuah kereta unit peronda (MPV) polis tidak bertahan lama apabila dicekup polis dalam satu sekatan jalan raya berhampiran susur masuk Plaza Tol Taiping Utara, Taiping, Perak.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.28 pagi dan polis berjaya menahan suspek kira-kira 20 minit kemudian.

Katanya, sebelum itu suspek memasuki pekarangan ruang letak kereta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dengan menaiki kereta jenis Ford Fiesta.

“Selepas meninggalkan keretanya di ruangan parkir IPD Taiping, suspek bertindak melarikan MPV polis jenis Honda Civic.

“Suspek yang berusia lingkungan 30an dari Selama itu kemudiannya berjaya ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya di Plaza Tol Taiping Utara 20 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Osman, suspek kemudian dibawa ke IPD Taiping untuk siasatan lanjut dan motif kejadian masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor,” katanya. – Kosmo!

Google ads
Back to top button