Buletin

KERETA-KERETA DENGAN MODIFIKASI ENJIN PALING GILA DI DUNIA

Kita dah biasa sangat tengok modifikasi yang melibatkan penukaran enjin. Kat Malaysia ni pun dari dulu lagi trend ni agak popular. Enjin standard Proton tukar dengan enjin Evo, enjin Kancil ganti dengan Mira Turbo, Honda biasa tukar dengan enjin Type R dan macam-macam lagi. Tapi itu semua masih dikira biasa kerana enjin yang ditukar biasanya datang dari pengeluar yang sama.

Mari kita lihat beberapa penukarang enjin yang radikal dan sangat kreatif. Ia mungkin tidak masuk akan tetapi mereka yang terlibat membuktikan yang tidak ada perkara yang mustahil dalam dunia modifikasi di atas bumi yang leper ini, maaf, bulat. Bujur kot? Ke bentuk donat Makcik Kiah belakang opis? Mana satu betul ha?

Fiat 500 dengan enjin Lamborghini

Ini memang gila walaupun keduanya berasal dari Itali. Keduanya datang dari kasta yang berbeza sebelum enjin V12 580 hp Lamborghini ditanam ke dalam casis kompak Fiat 500. Hasilnya lahirlah ‘sebuah’ anak raksasa yang mampu mencabar kereta-kereta lain yang lebih besar.

Volvo 242 Coupe dengan enjin V10

j

Casis asal Volvo memang cukup tegap dan selamat. Tapi bila enjin BMW M5 V10 E90 didermakan kepadanya, memang banyak kerja-kerja pengubahsuaian yang perlu dilakukan. Bukan senang untuk sebuah casis lama hendak menjinakkan enjin V10 M5 yang sangat berkuasa dan lincah.

Toyota 86 dengan enjin Ferarri V8

Toyota 86 memang menghadapi sindrom kekurangan kuasa dari enjin asal 4-selinder yang disumbangkan Subaru. Ia merupakan hasil kerja tangan Huddy Motorpsorts yang berkerja keras untuk memastikan enjin mid-engined ini mampu beroperasi dengan baik walaupun kini berada di hadapan enjin Toyota 86. Kini ia boleh melakukan aksi drift dengan lebih mendebarkan hasil peningkatan kuasa yang ketara.

Synergy V8 Subaru BRZ

BRZ mempunyai masalah yang sama dengan Toyota 86 iaitu mereka kurang berkuasa. Enjin  Synergy V8 mampu menyelesaikan masalah kekurangan kuasa sebelum ini. Enjin Synergy V8 ini sebenarnya dua enjin motosikal Kawasaki yang kemudiannya dicantumkan bersama oleh pakar-pakar dari JUN Auto Mechanic. Hasilnya lahirlah Subaru BRZ yang sungguh berkuasa dengan garisan merah meter yang setinggi 11,600 rpm (7,400 rpm pada BRZ standard).

Toyota Prius Hellcat

Bayangkan sebuah jentera drag Prius. Ya… Prius tuan-tuan. Sama macam yang dipandu oleh cikgu buku teks sekolah anak Pok Ya. Tapi kali ini ia bukan lagi menggunakan enjin hibrid tetapi telah digantikan dengan enjin Hellcat 6.2-liter supercharged. Tapi enjin Hellcat itu sendiri pun tidak lagi standard kerana ia telah diusik sehingga mampu menjana 1,000 hp kuasa.

Rolls-Royce Phantom 2JZ

Mana boleh cerita pasal modifikasi enjin tanpa enjin 2JZ. Kisah kali ini ialah tentang seorang pemilik Phantom warga Jepun yang tidak berpuas hati selepas enjin asal kereta tersebut mengalami kerosakan. Jadi beliau mengambil keputusan untuk membuang terus enjin 6.75-liter V12 asal dan digantikan dengan enjin 2JZ lengkap dengan pengecas turbo dan supercharger. Kini ia mempunyai 900 hp kuasa dari enjin 2JZ yang terbukti sangat gerek.

Saab 9-3 Wagon dengan enjin Dodge Viper

Seorang lelaki telah membeli sebuah Saab 9-3 Wagon dan mendapati kuasa yang ada belum memuaskan hatinya. Penyelesaian yang diambil beliau cukup mudah iaitu menggantikan enjin asal dengan enjin 8.4-liter V10 Dodge Viper. Macam mana? 600 hp rasa-rasa cukup tak?

Dodge Charger dengan enjin bot lumba?

Satu daripada kelebihan kereta lama ialah mereka memiliki ruang yang cukup luas di bawah bonet. Speedkore Performance menyedari tentang hal ini jadi mereka mengambil keputusan untuk memasukkan enjin bot lumba Mercury Racing  V8 QC4v yang mampu menghasilkan 1,650 hp kuasa. Kuasa ini sebenarnya mampu menjahanamkan terus tayar jika anda melakukan burnout secara berterusan.

Ford Granada dengan enjin Koenigsegg

Ini merupakan kereta golongan atuk di Eropah dan memang tidak menarik perhatian ramai. Pemiliknya yang berasal dari Norway memang sukakan kuasa jadi beliau telah memasang enjin Cosworth yang mampu menghasilkan 600 hp pada mulanya. Tapi bila itu pun tidak mencukupi beliau menukarnya kepada enjin V8 Ford dengan yang sama seperti digunakan oleh Koenigsegg CCX. Kini kereta golongan atuk itu sudah pun mempunyai 1,700 hp kuasa!

Volkswagen Lupo dengan 2 enjin W12

Ini merupakan hasil kerjatangan Andre Potsch yang memang suka memasukkan enjin yang besar ke dalam ruang enjin kereta kompak. Projek beliau kali ini ialah menggantikan enjin asal Volkswagen Lupo dengan enjin W12 6.0-liter Volkswagen Phaeton. Tapi jangan main-main kerana bukan satu enjin W12 digunakan tetapi dua! Satu di hadapan dan satu lagi di belakang sebelun keduanya dihubungkan dengan kotak gear manual 2.0 TDI. Ini memang modifikasi paling gila pernah didengar dan setiap satu enjin tersebut berupaya menjana 444 hp. Perghh.

Tags
Google ads
Back to top button