
TOYOTA JALIN KERJASAMA DENGAN SUZUKI, HASILKAN SPORTS CAR BAHARU. ENJIN 1.0L TURBO, 120HP/200NM
Pada 2016, Toyota pernah mendedahkan kereta sport kecil yang digelar sebagai S-FR, dilengkapi enjin 1.5L aspirasi biasa (NA).
Walau bagaimanapun, mereka membatalkan rancangan untuk membangunkan S-FR kerana menyangka bahawa ia tidak dapat bersaing dengan MX-5.
Tahun lepas, Toyota mengumumkan pelan kenderaan elektrik baharu, sebuah kereta sport kecil berada senarai pengeluaran mereka. Namun apakah dimaksudkan oleh Toyota? Adakah ia akan menjadi sebuah kereta elektrik sepenuhnya?

Menurut laporan BestCarWeb, Toyota akan bekerjasama dengan Suzuki untuk menghasilkan sebuah kereta sport kecil di mana Suzuki akan bertanggungjawab untuk membangunkan unit trenkuasa.
Kereta itu akan dibekalkan dengan enjin tiga silinder sebaris K10C 996cc, dibantu dengan sistem hibrid ringan dan motor elektrik berkuasa 4hp. Enjin 1.0 liter turbo itu mampu menjana kuasa setinggi 120hp dan tork 200Nm.
Toyota pula berperanan dalam membangunkan casis dan suspensi. Sistem suspensi kenderaan itu akan menggunakan spesifikasi yang sama seperti Toyota Yaris keluaran Jepun. Maklumat lain yang dinyatakan ialah kereta sport itu mempunyai berat sekitar 1,000kg.
Difahamkan bahawa harga kereta tersebut adalah sekitar 2.2 juta hingga 2.8 juta yen (RM72,000 – RM92,300). Untuk spesifikasi lebih terperinci, kita perlu menunggu pengumuman rasmi hasil kerjasama ini. – Automachi









