Buletin

KERETA SINGAPURA DGN SAMAN TERTUNGGAK MUNGKIN DILARANG MASUK

Bertindakbalas di atas tindakan perlaksanaan larangan kemasukan kenderaan Malaysia ke SIngapura yang mempunyai saman tertunggak mulai 1 April lepas, PDRM tidak menolak untuk melakukan perkara serupa pada kenderaan Singapura yang menyeberangi Malaysia.

Perkara tersebut dicadangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias yang berkata akan membincangkan perkara tersebut dengan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam masa terdekat.

“Kita akan berbincang dengan JPJ untuk membuat langkah yang sama dan mencari pendekatan ke atas kenderaan negara luar yang memasuki Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Larangan masuk kenderaan dengan saman tertunggak ke republik tersebut dibincangkan pada Februari dan diumumkan bersama oleh beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB), Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA), Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA), Polis Singapura (SPF) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Kenyataan bersama itu menyebut denda yang dimaksudkan adalah meliputi kesalahan trafik, kesalahan meletak kereta atau pelepasan asap kenderaan.

Untuk rekod, kira-kira 60,000 kenderaan asing memasuki Singapura setiap hari dan setakat Februari tahun ini, terdapat kira-kira 400,000 saman ke atas kenderaan asing dengan nilai dianggarkan S$32 juta (RM96 juta) masih belum dijelaskan.

KREDIT: UTUSAN ONLINE

Tags
Google ads
Back to top button