
KERETA ŠKODA DILENGKAPI CHATGPT, BACAKAN JAWAPAN KEPADA PEMANDU!
Teknologi arahan suara sudah lama digunakan pada kereta dan hari ini diturunkan kepada kereta kebanyakan.
Melalui arahan suara, pengguna boleh menurunkan cermin, membuka penyaman udara dan pelbagai lagi tanpa melakukan pergerakan kecuali membuka mulut.
Bagaimana sistem tersebut boleh dimanfaatkan dengan lebih baik? Škoda Auto menyepadukan ChatGPT ke dalam sistem bantuan suara sedia ada Laura.
Volkswagen (VW) terlebih dahulu memaklumkan ChatGPT akan dilengkapi pada kenderaan keluarannya dan kedua-dua pengeluar menggunakan sistem Cerence Chat Pro dari Cerence Inc.
Bantuan suara Laura boleh digunakan untuk mengawal sistem maklumat hibur, navigasi, penyaman udara dan menjawab soalan pengetahuan am.
Pada masa depan, dengan sifat kecerdasan buatan (AI) yang bertambah ‘cerdik’, sistem dapat memberikan maklumat kepada pertanyaan aras lebih tinggi.
Maklumat yang dijumpai akan dibacakan kepada pemandu atau penumpang. Fungsi ChatGPT akan ditawarkan pada sistem maklumat hibur terbaru bermula pertengahan 2024.
Di antara model Škoda terlibat seperti varian terpilih Enyaq, Superb dan Kodiaq generasi baharu dan Octavia yang dipertingkatkan.
Untuk mengaktifkan bantuan suara, pemandu hanya perlu menyebut “Okay, Laura” atau menekan butang pada stereng.
Permintaan atau soalan yang tidak dapat dijawab akan dihantar kepada AI. Berkenaan perlindungan data, ChatGPT tidak memiliki akses kepada data kenderaan dan maklumat peribadi.
Kesemua perhubungan akan dipadamkan serta-merta selepas pemprosesan.
Selain VW dan Škoda, model lain dalam Kumpulan Volkswagen bakal dilengkapi dengan fungsi pintar ini.
Sistem bantuan suara bukan sekadar mengikut arahan tetapi sudah pandai menjawab soalan! Hebak!





