
ŠKODA KODIAQ ARMOURED 2025, KALIS PELURU DAN TAHAN LETUPAN!
Kenderaan berperisai penting untuk orang kenamaan dan profail tinggi. Tidak semestinya jenama mewah, pengeluar kereta kebanyakan turut menawarkannya.
Škoda sebagai contoh menawarkan sedan Superb Armoured dan usah pandang rendah kerana hampir lima ratus buah telah terjual di serata dunia sejak dilancar pada 2018.
Kini ada buah tangan baharu dari Škoda dan untuk pelanggan yang mahukan kenderaan utiliti sukan (SUV) berbanding sedan.
Škoda Kodiaq Armoured dibangunkan sebagai projek bersama di antara Škoda UK dan pakar keselamatan dari British, UTAC Special Vehicles.
Sama seperti Superb Armoured yang dipertingkatkan dengan ciri baharu dan perlindungan lebih baik pada 2023, Kodiaq Armoured diperakui sepenuhnya mengikut piawaian PAS 300 dan PAS 301 Civilian Armoured Vehicle.
Pensijilan PAS 301 hanya diberikan kepada kenderaan yang melepasi sejumlah ujian yang mencabar seperti beban muatan, pecutan, kelajuan tertinggi, pengendalian dan pembrekan.
Lagi ujian yang perlu dijalani seperti tembakan lebih daripada 200 peluru serta penilaian ketahanan letupan pada bahagian sisi, bumbung dan bawah kenderaan. Kodiaq Armoured memenuhi semua kriteria tersebut.
Seperti sebelum ini, Kodiaq Armoured dibangunkan dengan kerjasama penuh dan sokongan teknikal dari Škoda dan direka untuk kelihatan sehampir mungkin dengan model pengeluaran.
Di antara kelengkapan pada Kodiaq Armoured seperti kaca kalis peluru khas dan perlindungan berperisai besi pada bahagian penumpang.
Pakej tersebut menjadikan kereta ini kalis peluru daripada pelbagai senjata tangan dan senapang serangan dan tahan letupan bom tangan dan bahan letupan tinggi.
Bagi memastikan Kodiaq Armoured memiliki tahap pemanduan dan ketangkasan yang sama seperti model pengeluaran, sistem suspensi dan brek telah dipertingkatkan.
Kedua-duanya disesuaikan mengikut pertambahan berat baharu. Satu lagi ciri ialah tayar gerak-kempis yang boleh dipandu walaupun dalam keadaan pancit dan tidak terkeluar dari roda.
Ciri tersebut membolehkan pemandu terus mengekalkan kawalan kereta pada setiap masa.
Lagi ciri-ciri pada Kodiaq Armoured seperti lampu kecemasan, sistem siren, skrin sentuh hab komunikasi lapan inci dengan GPS dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Walaupun menjalani pelbagai pengubahsuaian yang ketara, Kodiaq Armoured mengekalkan tahap keselesaan dan kebolehgunaan seperti model pengeluaran.
Kodiaq Armoured ditawarkan dalam versi lima tempat duduk dan mempunyai ruang bagasi lebih 2,000 liter.
Pelanggan boleh memilih pelbagai jenis rangkaian kuasa termasuk pacuan semua roda.
Sebagai rujukan, Kodiaq ditawarkan dalam dua pilihan enjin diesel dan dua petrol dengan output dari 150 kuasa kuda (hp) sehingga 204 hp.
Kotak gear automatik DSG dijadikan ciri asas pada semua rangkaian kuasa Kodiaq dengan model 2.0 TSI 204 hp dan 2.0 TDI (diesel) 193 hp dipadan bersama pacuan semua roda sebagai ciri asas.
Model hibrid plug-in memiliki kuasa keseluruhan 204 hp dan mod pemanduan elektrik lebih 100 kilometer (km).
Model 1.5 TSI 150 hp pula menjadi pengenalan kepada teknologi hibrid ringan pada Kodiaq.