
RASMI: CFMOTO 1250 TR-G KINI DI MALAYSIA – RM88,888
CFMOTO Malaysia dengan rasminya memperkenalkan motosikal ‘grand-tourer’ terbaru menerusi CFMOTO 1250 TR-G yang dijual pada harga RM88,888.

Motosikal yang pada asalnya hanya digunakan untuk penguatkuasa polis di China kini turut dipasarkan di pasaran global. Menariknya, Malaysia merupakan negara pertama selain China yang menerima model ini.

Seperti pesaing lain dalam segmennya, 1250TR-G juga dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan premium termasuk suspensi Marzocchi boleh laras dan kaliper brek Brembo Stylema 4-pot depan yang dipadankan bersama cakera brek 320mm dan Brembo 2-pot belakang dengan cakera brek 270mm. Model ini juga dilengkapi dengan Cornering ABS dan ‘steering damper’ secara standard.

Ciri lain pula terdiri daripada pencahayaan LED penuh, penghadang angin boleh laras secara elektronik serta panel meter 12.5-inci MMI. Penunggang juga disajikan dengan pembesar suara jenama JBL sekiranya mahu menikmati muzik sewaktu pengembaraan.
Juga tidak ketinggalan sistem keyless, TPMS (tire pressure monitoring system) serta ‘heated grip’. Melengkapkan lagi pengalaman menunggang, CFMOTO 1250TR-G juga menawarkan ciri ‘quickshifter’ (atas/bawah).

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
- cruise control
- RDS electronic radar
- HHC hill start assist
- tangki 23L
- berat 304kg

Untuk rekod, CFMOTO 1250TR-G dikuasakan enjin V-Twin 1,279cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 140hp pada 8,500rpm dan 120Nm pada 7,000rpm. Menariknya, enjin V-Twin itu dibangunkan daripada platform LC8 milik KTM yang menggerakan 1290 Super Duke R dan 1290 Super Adventure.