
KERJASAMA KINETA DAN CHARGE+ PACU MOBILITI ELEKTRIK SERANTAU
Dua pemain utama dalam landskap pengecasan kenderaan elektrik (EV) Asia Tenggara, KINETA Sdn Bhd dari Malaysia dan Charge+ dari Singapura, telah mengumumkan kerjasama strategik di Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.
Perkongsian ini dijangka menjadi pemangkin kepada peluasan pesat infrastruktur pengecasan EV di negara ini.
Melalui kerjasama ini, KINETA akan memainkan peranan penting dalam membantu Charge+ meluaskan rangkaian pengecasannya di Malaysia.
Kedua-dua syarikat akan berganding bahu dalam mempercepatkan pembangunan ekosistem pengecasan EV negara dengan turut serta dalam tender berskala besar di dalam dan luar negara.

Kerjasama ini juga membolehkan pengguna menikmati kemudahan pengecasan rentas rangkaian, apabila kedua-dua pihak menawarkan akses silang antara platform masing-masing.
KINETA, telah menjual lebih 9,000 pengecas dan memasang lebih 6,000 unit di pelbagai lokasi komersial dan runcit, memiliki pasukan jurutera bertauliah Suruhanjaya Tenaga (ST) antara yang terbesar di Malaysia.
Syarikat ini turut menampilkan pasukan dalaman sepenuhnya yang merangkumi Khidmat Pelanggan, Sokongan Selepas Jualan, Bantuan Teknikal, Penyelidikan dan Jaminan, menjadikan KINETA antara penyedia penyelesaian pengecasan EV paling menyeluruh di rantau ini.
Sementara itu, Charge+ yang berpangkalan di Singapura sejak 2018, telah membina rangkaian lebih 3,000 titik pengecasan di enam negara termasuk Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

Dengan sasaran membina 30,000 titik pengecasan menjelang 2030, Charge+ kini memperkukuh kedudukannya di Malaysia melalui sokongan kepakaran tempatan dan kekuatan operasi KINETA.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Charge+, rakan kongsi yang sehaluan dalam memperjuangkan mobiliti lestari di Asia Tenggara. Ini adalah langkah besar ke hadapan dalam usaha kami mempercepat penggunaan EV di Malaysia,” ujar Pengarah Urusan KINETA, Sunny Lee.
CEO Charge+, Goh Chee Kiong pula berkata, “Sebagai pengendali pengecas EV terkemuka di rantau ini, kami gembira dapat bergabung tenaga dengan KINETA bagi memperluaskan akses pengecasan di Malaysia.”
“Usaha ini bukan sahaja memudahkan perjalanan EV tanpa kebimbangan jarak, malah menyokong matlamat Charge+ untuk membina lebuh raya pengecasan DC sejauh 5,000km di seluruh Asia Tenggara,” tambahnya.
Dengan unjuran jualan EV di Malaysia yang dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2030, kerjasama ini hadir tepat pada masanya.
Ia bukan sekadar membina infrastruktur baharu, tetapi juga menyediakan pengalaman pemilikan EV yang lebih lancar, mesra pengguna dan bersedia untuk masa depan lebih hijau.