Buletin

iX M60 SAV ELEKTRIK PALING BERKUASA BMW. 610HP, TORK 1,100NM!

Pada tahun lalu, BMW melancarkan iX sebagai flagship teknologi terbaharu jenama terbabit.

Begitupun, SAV elektrik itu tidak didatangkan varian prestasi tinggi dibangunkan BMW M GmbH.

Senario tersebut berubah hari ini apabila syarikat pengeluar dari Jerman itu mendedahkan iX M60 yang merupakan iX terpantas dan paling berkuasa sehingga kini dengan kuasa mencecah 610 hp.

Model iX M60 mungkin bukan kenderaan elektrik (EV) jenama M pertama kerana ia dimiliki i4 M50.

Bagaimanapun, model terbaharu itu merupakan yang pertama dibangunkan berdasarkan reka bentuk modular masa hadapan BMW Group menggabungkan teknologi terkini.

Selain itu, ia mendapat sentuhan rangka aluminium space frame IX, sangkar karbon dan gentian karbon dipadankan panel plastik.

Dari segi rekaan, terdapat sedikit perubahan membezakan iX M60 berbanding varian lain.

Ia termasuk lencana M60 pada bahagian belakang, rim 21 inci Aero Bi-color, kaliper brek berwarna biru dipadankan huruf M dan pilihan pakej luaran BMW Individual Titanium Bronze.

iX M60 mendapat khidmat trenkuasa motor elektrik M berkembar yang mampu menjana kuasa mencecah sehingga 610 hp apabila menggunakan mod Sport dan 533 hp dalam mod standard.

Gabungan tork iX M60 pula boleh mencecah 1,015 Nm malah boleh dipertingkatkan sehingga 1,100 Nm apabila mengaktifkan Launch Control.

SAV terbaharu itu boleh memecut 0-96 km/j dalam tempoh 3.6 saat pada kelajuan maksimum 250 km/j.

Dengan dilengkapi pek bateri litium-ion berkapasiti 106.3 kWh, ia menawarkan jarak perjalanan 450 km.

iX M60 didatangkan supensi udara adaptif untuk kedua-dua gandar dengan kawalan peredam elektronik dan kawalan pelarasan automatik.

Ia digabungkan sistem Integral Active Steering dan M Sports Brek dalam mempertingkatkan dinamik pemanduan.

BMW iX M60 2023 dijual pada harga bermula AS$105,100 (RM440,527). –carscoops

Google ads
Back to top button