Buletin

GENEVA MOTOR SHOW 2021 SAH BATAL. PENGELUAR MAHU SERTAI EDISI 2022

Sama seperti penganjuran acara sebesar ini, Geneva Motor Show perlu buat duit untuk terus hidup.

Memandangkan edisi tahun 2020 telah dibatalkan dan penganjur tidak mahu mengambil pinjaman daripada kerajaan negeri Geneva, Geneva Motor Show 2021 nampaknya tidak akan dianjurkan.

Kewangan bukanlah satu-satunya masalah yang mereka hadapi. Majoriti pempamer yang mengambil bahagian dalam satu kaji selidik memberitahu mereka mungkin tidak akan mengambil bahagian dalam edisi 2021. Sebaliknya mahu menyertai semula dalam acara sama untuk tahun 2022.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana hampir semua pengeluar kenderaan di seluruh dunia menerima impak serius daripada penularan wabak COVID-19.

Ahli Lembaga Yayasan Geneva Motor Show sebelum ini ada memohon sokongan kewangan sebanyak 11 juta Swiss francs (RM49 juta) daripada kerajaan. Namun, pinjaman itu ditolak kerana ia perlu membayar 1 juta Swiss francs (RM4.49 juta) pada Jun 2021.  

Nasib nyata tidak menyebelahi mereka apabila pengeluar kenderaan sudah keberatan untuk menyertai pameran auto. Sewaan ruang pameran dan binaan boleh menelan belanja jutaan ringgit.

Terima kasih kepada kecanggihan teknologi penstriman langsung dan media sosial, pengeluar kereta kini ada cara yang jauh lebih murah untuk mempromosikan kereta baharu.  

Bagi wartawan pemotoran, ini merupakan perkembangan yang sangat menyedihkan. – Autoevolution


Tags
Google ads
Back to top button