Buletin

PADA 2015 HONDA CIVIC TYPE R (FK2R) DIPERKENAL DI GENEVA, 305HP 400NM

Jika jenama Honda menjadi kegemaran ramai, Civic Type R pula adalah impian peminat Honda yang gemarkan prestasi. Dalam masa pengguna tempatan mempunyai akses kepada model recond dan half cut Type R, pengguna negara lain hanya boleh mengidamkannya.

Sebelum Honda memperkenalkan Type R global yang pertama iaitu Civic FK8R, peminat model berprestasi Honda ditawarkan dengan Civic Type R FK2R.

Civic FK2R diperkenalkan di Pameran Kenderaan Geneva 2015 manakala Civic FK8R diperkenalkan di tempat yang sama dua tahun kemudian.

Tempoh di antara dua pameran antarabangsa tersebut sememangnya singkat dan perkembangan yang mengejutkan.

Civic FK2R secara tradisinya meneruskan legasi Type R sebelum itu yang dipasarkan secara rasmi di beberapa buah negara sahaja. Honda tidak mudah untuk menjual Civic Type R ke banyak buah negara.

Civic Type R FD2R misalnya untuk pasaran Jepun dan suatu yang membanggakan apabila Malaysia adalah negara pertama di mana Honda menawarkan model JDM (Japan Domestic Model) secara rasmi.

Civic FK2R pula khusus untuk pasaran Eropah dan diimport dari Swindon, England ke Jepun. Model ini tidak dijual secara rasmi di negara kita seperti FD2R sebelum itu.

Meskipun tempoh penjualan Civic FK2R tidak lama iaitu dari 2015 hingga 2017 sahaja, ia sudah cukup untuk menaikkan prestij Type R.

Satu ciri utama yang menarik perhatian ialah enjin 2.0 liter VTEC Turbo yang pertama kali digunakan pada Civic Type R. Tidak kurang juga kempen Honda yang berjaya mengangkat lagi idaman terhadap model ini.

Enjin K20C1 itu mempunyai kuasa 305 hp pada 6,500 rpm dan tork puncak 400 Nm pada 2,500 rpm. Kedua-dua angka itu lebih tinggi berbanding mana-mana mode Type R sebelumnya.

Apabila bercakap tentang Honda, rpm adalah penting dan red line FK2R ialah pada 7,000 rpm.

Enjin yang digunakan adalah bahan bicara kerana VTEC Turbo dari Honda sendiri adalah suatu yang berbeza daripada pekikan Type R sebelum itu.

Satu lagi keunikan Honda Civic Type R ialah pada pacuannya. Honda tidak menggunakan pacuan 4WD atau AWD dan setia dengan pacuan 2WD.

Pecutan Civic FK2R dari 0 hingga 100 km/j mengambil masa 5.7 dan pada masa itu adalah kereta hatchback pacuan depan yang mempunyai pecutan terpantas. Kelajuan maksimum ialah 270 km/j.

Enjin baharu itu dipadankan bersama transmisi enam kelajuan manual. Sekali lagi Honda tidak mempedulikan trend, memadai dengan transmisi manual berbanding transmisi klac berkembar yang popular.

Satu ciri yang menarik perhatian semasa Civic FK2R diperkenal ialah butang +R. Apabila diaktifkan, respon nadi kuasa dan casis akan berubah dengan fokus kepada pemanduan yang ideal untuk litar.

Respon enjin akan ditingkatkan dengan pemetaan tork difokuskan kepada talaan yang lebih agresif dan berorientasikan prestasi. Bantuan kuasa pada stereng akan dikurangkan supaya lebih responsif terhadap input pemandu.

Tahap tekanan Adaptive Damper System pula akan dinaikkan kepada 30 peratus. Secara keseluruhannya karakter kereta akan bertukar menjadi lebih tegar dan lincah untuk pemanduan berprestasi.

Kit aerodinamik pada Civic Type R FK2R juga bukan sekadar menarik perhatian.

Sama ada melekat dibahagian luar atau bahagian bawah kereta yang rata, ia dibuat supaya Civic FK2R melekat di atas jalan dan memberikan pengendalian yang jitu.

Turut membantu ialah sistem Dual Axis Strut Front Suspension yang mengurangkan torque steer sehingga 50 peratus berbanding suspensi standard Civic.

Pada bahagian belakang, Honda menggunakan torsion beam berbentuk H yang diperbuat daripada crushed pipe buatan khas dan berjaya memperbaiki tahap roll rigidity sehingga 180 peratus.

Ciri seperti ini perlu dibuat sebagai imbal balas Honda yang tidak menggunakan pacuan 4WD atau AWD.

Selain segala macam ciri hebat, Honda tidak memikirkan prestasi sahaja.

Varian Type R GT Pack mempunyai pelbagai teknologi bantuan pemandu canggih sepertiForward Collision Warning, Lane Departure Warning, Traffic Sign Recognition system, High-Beam Support System, Blind Spot Information dan Cross Traffic Monitor.

Kepada yang berkenan, Honda Civic Type R FK2R boleh dimiliki di pasaran tempatan. Unit recond dijual di antara RM190,000 hingga RM200,000 bergantung kepada tahun keluaran.

Honda Civic Type R FK8R sememangnya sebuah model yang hebat tetapi sebelum itu Civic Type R FK2R yang membuka gelanggan VTEC Turbo untuk model legenda ini.

Google ads
Back to top button