Buletin

KIA CARENS 2022, 3 BARIS KERUSI 6 BEG UDARA UNTUK SEMUA VARIAN!

Segmen SUV kecil tiga baris sekarang ini mempunyai pesaing baharu. Kia Carens generasi keempat dilancar di India yang juga pengenalan peringkat global model itu.

Menariknya, Kia memanggil Carens sebagai kenderaan rekreasi (RV) dengan pakej sebuah kenderaan keluarga dan ciri sporti SUV.

Apa pun panggilannya Carens baharu tampil segak dengan reka bentuk dalaman premium.

 

Selain reka bentuk menarik, Carens juga bagus dari segi kelengkapan keselamatan. Kesemua varian Carens dilengkapi Hi-Secure Safety Package yang mempunyai enam beg udara dan dikatakan di antara kereta paling selamat di India. 

Ciri tersebut adalah stratergi Kia dan boleh dilihat bagaimana jenama itu menawan hati ramai pelanggan tempatan dengan menawarkan kenderaan yang menarik dan lengkap dari segi ciri keselamatan.

Rangkaian kuasa

Normal untuk pasaran India, Carens ditawarkan dengan enjin 1.5 liter diesel selain 1.5 liter petrol dan pelanggan turut diberi pilihan enjin 1.4 liter turbo.

Transmisi pula ada dua jenis iaitu enam kelajuan manual, selain tujuh kelajuan DCT dan enam kelajuan automatik yang akan ditawarkan kemudian.

Reka bentuk luaran

Carens 2022 menggunakan falsafah reka bentuk terbaharu syarikat iaitu Opposites United. Secara spesifik, reka bentuk Carens disasarkan kepada golongan milineal atau orang muda.

Lampu utama membawakan tema Crown Jewel Headlamps manakala DRL dibuat mengikut konsep pencahayaaan signatur baharu Kia iaitu The Star Map dan berjaya membawa imej sofistikated kepada keseluruhan kereta.

Rupa harimau yang merupakan identiti Kia sejak sekian lama diserlahkan melalui komponen seperti garisan krom melintang pada gril atas dan rangka krom pada bampar bawah.

Turut menarik perhatian ialah reka bentuk lampu belakang LED Star Map yang juga nampak moden dan sofistikated.

Reka bentuk dalaman

Bahagian dalaman Carens direka mengikut falsafah Joy for reason dengan mencipta keriangan melalui kombinasi estetika yang mesra dan menenangkan.

Bagi menghasilkan dalaman sebegini, Kia banyak melakukan kajian bagi memahami gaya hidup dan keperluan keluarga di India.

Komponen dalaman yang menyerlah pada Carens ialah papan pemuka seperti sebuah model premium.

Tiada skrin yang tertonjol keluar dari atas papan pemuka dan pembuka pintu kanan dan kiri ibarat bersekali dengan papan pemuka.

Skrin sentuh Carens adalah jenis Resolusi Tinggi (HD) berukuran 10.25 inci dengan fungsi Kia Connect. 

Ciri mewah Carens diserlahkan lagi dengan Sistem Audio Premium BOSE dan lapan pembesar suara, lampu suasana (Ambient Mood Lighting) 64 warna dan bumbung suria.

Ini SUV rakyat atau SUV mewah?

Lampu suasana itu turut dihubungkan dengan mod pemanduan yang mempunyai tiga pilihan iaitu Sport, Eco, Normal dan pemandu disediakan dengan anjak penukar gear.

Di antara ciri praktikal pada Carens ialah kerusi penumpang yang dilengkapi Retractable Seatback Tables untuk meletak pelbagai peranti dan juga bekas minuman. 

Ciri tersebut mengingatkan kepada Naza Ria (Kia Carnival) selain konfigurasi kerusi baris kedua jenis berasingan untuk varian enam tempat duduk.

Kerusi baris kedua dibaringkan dengan fungsi One Touch Easy Electric Tumble supaya mudah untuk keluar dan masuk selain boleh dilaras ke depan dan ke belakang.

Kerusi baris tiga pula boleh dibaring rata untuk lebih muatan di belakang. Banyak lagi ciri praktikal Carens seperti laci bawah kerusi, pengecas telefon tanpa wayar dengan penyejuk, langsir pintu belakang dan lima slot USB jenis C.

Menyediakan udara bersih kepada pemandu dan penumpang ialah Smart Pure Air Purifier dengan perlindungan virus dan bakteria.

Supaya nampak kemas, corong penyaman udara baris kedua dan ketiga direka sekata dengan siling.

Ciri keselamatan

Carens baharu tidak dilengkapi teknologi bantuan pemanduan tetapi kesemua varian dilengkapi Hi-Secure Safety Standard Package dan empat brek cakera sebagai ciri asas.

Pakej itu merangkumi enam beg udara dan sejumlah sistem elektronik seperti berikut:

  • Electronic Stability Control (ESC) 
  • Vehicle Stability Management (VSM)
  • Hill-Assist Control (HAC), Downhill Brake Control (DBC)
  • Brake Assist System (BAS) 

Masuk pasaran tempatan ke nanti?

Kia memaklumkan Carens 2022 akan berada di pasaran India bermula suku pertama tahun depan. Pada masa yang sama Carens juga akan ditawarkan di beberapa pasaran terpilih dunia.

Berkenaan pasaran tempatan, segmen begini memang mempunyai permintaan yang baik dan perlu bersaing dengan Perodua Aruz, Honda BR-V dan mungkin pengganti Alza dan Avanza.

Ada atau tidak, bergantung kepada perancangan pengedar Kia yang baharu.

BACA: KIA FORTE GT 2022, 1.6L TURBO 200HP 6 KELAJUAN MANUAL!

BACA: KIA PROCEED GT – WAGON UNTUK PAPA YANG JIWANYA KELAJUAN

BACA: KIA FORTE KOUP DAN CERATO KOUP, 2 GENERASI COUPÉ YANG ‘RARE’

Google ads
Back to top button