Artikel PilihanBuletin

KIA FORTE KOUP DAN CERATO KOUP, 2 GENERASI COUPÉ YANG ‘RARE’

Di dalam sejarah Kia Motors terdapat dua model yang berjaya membuka mata ramai dan menaikkan reputasi jenama syarikat dari Korea Selatan itu.

Model pertama ialah Kia Sportage, SUV saiz sederhana yang berjaya menarik ramai pembeli tempatan. Tarikan utama Sportage ialah harga yang lebih rendah berbanding model Jepun seperti Honda CR-V.

Model kedua pula Kia Forte generasi pertama yang bukan sahaja menarik perhatian pembeli tempatan tetapi juga pasaran global dengan reka bentuknya yang menarik.

Pelancaran Forte pada tahun 2008 turut menaikkan nama Peter Schreyer yang dua tahun sebelum itu dilantik sebagai Ketua Pegawai Reka Bentuk Kia Motors.

Peter Schreyer dan pasukannya bertanggung jawab dalam memperkenalkan gayaan ‘hidung harimau’ yang sehingga kini masih digunakan pada model-model baharu Kia.

Selepas Forte, Kia terus menerus mengeluarkan model hebat dan berjaya mengekalkan momentumnya. 

Kia juga berjaya menjadi sebuah jenama yang disegani dengan memenangi pelbagai anugerah reka bentuk antarabangsa.

Satu keunikan Forte yang kini sudah memasuki generasi ketiga ialah pelbagai jenis badan dipasarkan mengikut selera pembeli.

Di pasaran tempatan, Forte generasi pertama ditawarkan dalam dua jenis badan iaitu sedan dan coupé Forte Koup.

Model Forte Koup walaupun hadir dengan bentuk badan sporti kurang mendapat sambutan dan tiada apa yang pelik mengenainya memandangkan coupé secara tradisinya adalah model niche.

Forte Koup yang dilancarkan pada tahun 2011 berharga RM116,000. Model yang digerakkan oleh enjin 2.0 THETA II berkuasa 156 ps pada 6,200 rpm dan tork 194 Nm pada 4,300 rpm.

Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan yang merupakan ciri maju dan canggih berbanding model jenama pesaing.

Selepas pelancaran Forte generasi kedua yang dikenali sebagai Cerato pada 2013, Naza Kia tidak berputus asa.

Pada tahun 2015, Cerato Koup dilancarkan dengan enjin 1.6 Gamma T-GDI.

 

Model baharu serba canggih dan dengan enjin turbo tersebut juga menyaksikan peningkatan harga kepada RM136,000.

Selepas Forte Koup, Kia sekali lagi tampil dengan nadi kuasa canggih untuk model coupé.

Enjin turbo tersebut berkuasa 204 ps pada 6,000 rpm dengan 265 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm. Enjin sama juga digunakan pada Hyundai Veloster Turbo yang juga pernah dipasarkan di negara kita.

Enjin Gamma tersebut dipadankan bersama transmisi enam kelajuan automatik.

Selain enjin canggih, Cerato Koup dilengkapi spesifikasi standard hebat seperti lampu utama xenon dengan DRL LED, lampu belakang LED, roda aloi 18 inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kamera undur, sensor parkir depan dan belakang, kawalan suhu dua zon automatik dengan cluster ioniser, skrin LCD 4.2 inci, kerusi balutan kulit dengan pemanas (kerusi pemandu) dan cermin suria.

Spesifikasi keselamatan juga bagus iaitu enam beg udara, ABS dengan EBD, kawalan penstabilan, bantuan mula daki dan cangkuk ISOFIX pada kerusi belakang.

Kia Cerato GT (Generasi ketiga)

Selepas pelancaran pada tahun 2015, Kia Cerato Koup kini tinggal sejarah di negara kita dan juga Amerika Syarikat selepas ditamatkan pada tahun 2017.

Mungkinkah ada Cerato Koup lagi selepas ini serentak selepas pelancaran Cerato generasi ketiga? Belum pasti namun kedua-dua generasi coupé yang ditawarkan Kia ini sudah pun mencatat legasi tersendiri.

Google ads
"
"
Back to top button