
GAC AION i60 ‘KEMBAR’ TOYOTA bZ3X DILANCAR DI CHINA NOVEMBER INI – HARGA RM65K
GAC Aion bakal memperkenalkan model terbaharu, Aion i60, di pasaran China pada November ini, model yang dikatakan kembar kepada Toyota bZ3X, SUV elektrik hasil kerjasama Toyota dan GAC.
Menariknya, Aion i60 akan ditawarkan dalam dua pilihan iaitu versi elektrik sepenuhnya (BEV) dan hibrid plug-in (PHEV) dengan harga permulaan sekitar 100,000 yuan (RM65,900).
Toyota bZ3X sendiri dilancarkan pada Mac 2025 dengan harga bermula 109,800 yuan (RM72,300) sebelum diskaun, dan telah mencatatkan lebih 33,000 unit terjual sehingga Ogos 2025.
Kini, GAC mengambil langkah untuk memperkenalkan versi tersendiri di bawah jenama Aion, dengan sedikit perubahan gaya luaran dan lencana Aion bagi membezakan kedua-duanya.

Aion i60 menggunakan platform modular AEP yang sama dengan bZ3X, platform yang turut digunakan pada Aion V, SUV yang membuat kemunculan sulung di Eropah semasa pameran IAA Mobility 2025 di Munich.
Dari segi reka bentuk, kedua-dua model berkongsi banyak persamaan seperti bentuk tingkap, garis bumbung, pintu, dan cermin sisi, namun Aion i60 dibezakan melalui reka bentuk lampu hadapan, bampar dan unit lampu belakang yang lebih unik.
Dari segi dimensi, Aion i60 sedikit lebih besar daripada bZ3X dengan ukuran 4,685mm panjang, 1,854mm lebar dan 1,660mm tinggi, serta jarak roda 2,775mm.
Ia turut dilengkapi rim bersaiz 18 atau 19-inci dan menawarkan konfigurasi lima tempat duduk. Berat keseluruhan mencecah 2,350 kg, manakala berat kosongnya sekitar 1,910kg.
Bagi varian elektrik sepenuhnya, Aion i60 dikuasakan oleh motor tunggal berkuasa 221hp dengan kelajuan maksimum 160km/j.
Menurut data daripada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT), varian PHEV pula menggunakan enjin 1.5 liter NA yang menghasilkan 101hp, dipadankan dengan motor elektrik 165kW, serta bateri LFP 29.165kWh, mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sekitar 160km (CLTC).
Model ini kini sedang menunggu kelulusan lesen jualan dan dijangka akan mula dipasarkan sebelum akhir tahun ini.
Namun, langkah GAC memperkenalkan model begitu hampir dengan bZ3X milik usaha sama Toyota dilihat agak luar biasa dan mungkin mencetuskan persaingan dalaman yang tidak dijangka dalam kumpulan GAC sendiri.




