
KIA CARNIVAL UNTUK AS, 3.5L V6 GDI DAN 1.6L TURBO HIBRID
Pada November 2023, Kia Carnival rupa baharu (facelift) diperkenal di Korea Selatan dan tanpa menunggu lama menyusul di Amerika Syarikat (AS) pada Februari 2024.
Carnival 2025 digerakkan enjin 3.5 liter V6 GDI dan pilihan baharu Carnival HEV yang dibekalkan enjin lebih kecil 1.6 liter turbo hibrid.
Dari segi rekaan, Carnival 2025 menyerlah melalui bahasa reka bentuk Opposites United.
Bahagian depan menonjol dengan jeriji besar dan rekaan lampu yang menggabungkan bentuk seperti kiub ais dan lampu nyalaan siang Star Map Kia.
Bahagian belakang juga ditukar dan tampil lebih ringkas dengan lampu baharu dan lokasi nombor pendaftaran dipindah ke bawah.
Pada bahagian sisi, terdapat pelbagai saiz mengikut varian dari 17 sehingga 19 inci. Carnival HEV menggunakan rim aerodinamik khas saiz 17 inci.
Buat pelanggan yang mahukan sesuatu lebih istimewa, Kia menawarkan Carnival Dark Edition dengan perkakasan gelap seperti rel bumbung, plat bawah bampar, rim, jeriji, riasan tiang C dan pelbagai lagi.
Perubahan yang dibuat turut merangkumi bahagian dalam. Papan pemuka menerima skrin dan panel tengah serta suis kawalan baharu dan menjadikannya lebih ringkas.
Bergantung kepada pilihan, skrin panoramik melengkung dua paparan menempatkan skrin 12.3 inci untuk pemandu dan paparan maklumat hibur dalam saiz sama pada bahagian tengah.
Pelanggan turut mempunyai pilihan untuk mendapatkan skrin papar pandu (HUD) berwarna penuh yang memancarkan maklumat dari meter dan navigasi.
Lagi pilihan untuk pelanggan Cermin Paparan Penuh yang menggantikan cermin pandang belakang biasa dengan pandangan kamera.
Fungsi bantuan suara “Hey Kia!” pula mampu membezakan suara di antara penumpang dan baris kedua bagi menerima arahan seperti buka tingkap dan kawalan suhu.
Untuk Carnival yang dilengkapi pakej VIP Lounge Seat, penumpang kerusi baris kedua boleh menikmati mod rehat, rebahan dan bukaan perehat kaki menggunakan arahan suara.
Sebagai sebuah kenderaan keluarga, Carnival dilengkapi tujuh slot USB-C, dua outlet kuasa dan dua penyongsang 115V sebagai punca kuasa tambahan.
Tidak seperti pasaran tempatan, pelanggan di AS hanya ditawarkan tujuh atau lapan tempat duduk. Kerusi baris kedua boleh ditanggal (kecuali SX-Prestige) dan kerusi baris ketiga boleh dilipat ke lantai.
Seperti yang dinyatakan, terdapat dua pilihan enjin iaitu 3.5 liter V6 GDI yang menghasilkan 287 kuasa kuda (hp) dan tork 352.5Nm dan padanan kotak gear automatik lapan kelajuan.
Pilihan baharu 1.6 liter turbo hibrid dipadan bersama motor 54 kilowatt (kW) dan kotak gear automatik enam kelajuan. Pakej ini menghasilkan 242 hp dan tork 367Nm.
Di dalam mod Eco/Smart, sistem Electrification-Vehicle Motion Control (E-VMC) dihidupkan melalui pedal tukaran gear bagi melaras jumlah pembrekan regeneratif dengan tiga tahap kawalan nyah pecut.
Lagi ciri khas pada Carnival HEV seperti E-Handling bagi meningkatkan tindak balas kenderaan semasa memasuki dan keluar selekoh.
E-Ride membantu melancarkan pergerakan semasa melalui bonggol dengan penyerap hentak talaan istimewa.
E-Evasive Handling Assist pula direka bagi mengawal pengerakan kenderaan ketika stereng dipulas dalam keadaan kecemasan.











