
KIA NIRO EV, REKAAN MUKA HARIMAU YANG LUAR BIASA.
Kia Niro Electric merupakan sebuah lagi kereta elektrik yang dipasarkan oleh Kia dan secara teknikalnya ia adalah kembar kepada Hyundai Kona EV. Namun dengan panjang 4420mm dan juga lebar 2720mm Kia Niro adalah jauh lebih besar berbanding dengan Hyundai Kona tapi kecil sedikit berbanding dengan Hyundai Ioniq 5.
Kia Niro yang diperkenalkan pada tahun 2023 ini adalah Kia Niro EV generasi kedua dan dipasang sepenuhnya di Korea Selatan. Menurut Kia, perkataan Niro pula merujuk kepada Near Zero iaitu misi Kia dalam menghasilkan kenderaan yang meminimakan pembebasan gas karbon dioksida
Berbeza dengan Hyundai yang menggunakan konsep Parametric Jewel Design, Kia mengetengahkan konsep Tiger Face untuk model Niro. Rekaan hud depan, fender kiri, fender kanan, lampu depan dan jeriji atas serta bawah direka agar memberikan imej muka harimau

Untuk mengurangkan seretan udara, memberikan kecekapan aerodinamik serta jarak pemanduan yang lebih baik, Kia Niro menggunakan rekaan Air Curtain pada tiang C serta digabungkan dengan lampu belakang Boomerang Style LED. Rekaan ini berjaya merendahkan pekali seretan geseran kepada 0.29 sahaja.
Jarak antara roda Niro pula ditetapkan pada 2720mm, menjadikannya lebih luas berbanding dengan Hyundai Kona EV yang dijual di Malaysia sekarang. Rekaan dalaman yang digunakan adalah nampak sedikit luar biasa sedikit berbanding dengan rekaan biasa konvensional yang digunkan oleh Kia.
Hampir 2/3 daripada permukaan papan pemuka digunakan untuk bentangan meter serta skrin multimedia, dalam bentuk yang tidak sekata, roda stering 2 spoke, suis penyaman udara sesentuh, meter rotari serta kemasan pintu yang bersambung membuatkan rekaan ini tidak disukai oleh penulis

Headlining yang digunakan dihasilkan daripada gentian fiber kitar semula, cat yang bebas benzena serta balutan kusyen yang dihasilkan daripada daun menunjukkan Kia berusaha menjadikan Niro ini sangat mesra alam semasa proses pembuatan.
Skrin selebar 10.25 inci definasi tinggi ini menawarkan sambungan Apple Car Play dan Android Auto manakala meter skrin digital untuk pemandu pula adalah sama saiz dengan meter multimedia. Mode pemanduan ditawarkan dalam 3 mode dengan suis dipasang pada stering serta paddle shifter
Soket punca kuasa elektrik sebesar 180watt disediakan pada papan pemuka, pengecas tanpa waya pada konsol tengah, kipas aliran udara untuk kusyen depan dan pemandu serta suis Relaxation Mode disediakan khusus untuk pemandu di depan berehat sewaktu pemanduan

Kelebihan ruang ini menawarkan kabin yang selesa untuk penumpang di belakang dengan lantai yag rata serta kusyen yang sangat selesa untuk 3 penumpang di bahagian belakang. Buktinya ruang kargo menyediakan ruang sebesar 470 liter dan boleh menjadi 1400 liter jika kusyen belakang dilipat.
Terdapat satu soket 3 pin yang menawarkan kuasa elektrik 250 volt dan 12 Ampere yang sangat berguna jika anda bercadang untuk mengecas komputer riba. Penumpang belakang juga boleh menikmati pemandangan luar yang luas dengan ciri sunroof, sekiranya cuaca tidak terlalu panas.
Hanya satu spesifikasi trenkuasa sahaja yang disediakan iaitu bateri ion lithium polimer 64.8kwh yang membenarkan Kia Niro dipandu sejauh 460km untuk satu pengecasan penuh. Motor elektrik dengan gear tunggal, on board charger dan inverter dipasang pada bahagian depan manakala bateri dibawah cesi.

Platform yang digunakan oleh Kia Niro adalah platform lama, dengan rekaan 400volt sahaja. Sistem On Board Charger membenarkan arus AC 11kW untuk pengecasan selama 6 jam 20 minit. Jika Kia Niro dicaj dengan pengecasan pantas 80kWh, ia hanya mengambil masa sekitar 45 minit untuk dipenuhkan dari 20-80%
Motor pula akan memacu roda depan, menawarkan 201 kuasa kuda dan 255Nm tork. Ia adalah angka yang cukup untuk membolehkan Kiar Niro memecut 0-100km/jam dalam masa 7.8 saat sahaja dengan halaju maksima dihadkan kepada 167km/jam. Secara purata Kia Niro akan menggunakan 16kWh bateri semasa di lebuhraya dan 14kWh untuk jalan bandar
Dengan berat mencecah sehingga 1757kg, suspensi McPherson di bahagian depan dan MultiLink di bahaian belakang seperti tidak berupaya menampung berat Kia Niro. Buktinya ialah wujudnya pergerakan pitching (berayun dari depan ke belakang dan sebaliknya) ketika dipandu laju di laluan lurus lebuh raya.

Namun suspensi ini cukup selesa sewaktu di jalan biasa menjadikannya lebih sesuai untuk dipandu bagi perjalanan jarak dekat berbanding dengan perjalanan jarak jauh. Brek regeneratif pula boleh dikawal dalam 4 peringkat dengan menggunakan paddle shifter.
Dalam peringkat ke 4, ia akan bertukar menjadi single mode driving pedal dan ciri ini adalah kelebihan Kia Niro berbanding dengan pesaingnya yang lain bagi memkasimakan kecekapan. Tapi sama seperti kereta elektrik yang lain, kuasa elektrik akan cepat habis jika dipandu laju di lebuhraya, menyebabkan anda perlu memandu dengan berhemah dan disukai oleh polis trafik
Dalam aspek keselamatan, Kia Niro ditawarkan dengan ciri Auto High Beam Assist, Blind Spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross Traffic Alert dengan Collision-Avoidance Assist, Lane Keep Assist, Driver Attention Warning , brek kecemasan automatik dengan ciri mengesan kenderaan di persimpangan jalan, Lane Following Assist dan Smart Cruise Control lengkap dengan sistem Stop and Go.

Namun dari segi harga dan jenama ia akan membuatkan ramai bakal pembeli terasa was was disebabkan harganya mencecah sekitar RM 256,000. Untuk rekod, jika anda menambah sedikit sahaja lagi duit, mungkin anda boleh membeli BMW i4 yang jauh lebih menarik daripada jenama yang premium.
Malah penawaran RM 199,000 daripada Tesla menyebabkan ramai pemain industri automotif menggaru kepala disebabkan tawaran harga tersebut sukar untuk diserang balas oleh jenama lain
Kia Niro EV ini adalah sebuah SUV elektrik yang selesa dan luas untuk kegunaan keluarga, mampu membawa 5 penumpang , ditawarkan dengan 8 tahun jaminan bateri dan trenkuasa serta 5 tahun jaminan atau 150,000km untuk komponen yang lain