Artikel Pilihan

KISAH YANG PILU, U-BOAT TENGGELAM DISEBABKAN KEGAGALAN TANDAS

Kapal selam beroperasi dalam tekanan yang sangat ekstrim dan sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko bahaya. Sebagai contoh KRI Nanggala 402 dipercayai terdedah kepada arus deras dalam laut sehingga ia gagal untuk timbul setelah mengalami kerosakan. Sejarah penggunaan kapal selam dalam peperangan ini boleh dilihat semenjak dari perang dunia pertama lagi.

Malah ketika perang dunia kedua berlangsung, rejim Nazi menggunakan U-Boat (panggilan kapal selam mereka) sebagai senjata utama untuk menyerang kapal dagang yang menghantar bekalan bahan mentah serta peralatan peperangan daripada negara sekutu ke United Kingdom

Bertugas dalam U-Boat bukanlah satu perkara yang selesa terutama sekali ketika perang berlangsung. Ketika perang berlaku, U-Boat Jerman menggunakan sistem diesel hibrid sebagai sumber kuasa utama. Enjin diesel akan membekalkan tenaga ketika kapal selam timbul di permukaan dan pada masa yang sama ia akan mengecas bateri sistem

Kuasa elektrik pula akan digunakan ketika kapal selam mulai menyelam dan menyerang musuh. Ketika U-Boat mula digunakan ketika perang untuk menenggelamkan kapal dagang musuh, tidak banyak tentangan diberikan. Jadi U-Boat ini amat jarang sekali menyelam. Apabila menyelam, antara kekangan yang dihadapi oleh U-Boat ialah krew tidak boleh menggunakan tandas

Bagi membuang air besar ketika U-Boat menyelam, mereka terpaksa menggunakan baldi khas. Ketika U-Boat timbul di permukaan barulah tandas boleh digunakan. Masalah ini menjadi semakin serius apabila pihak berikat mula bertindakbalas dengan memperkenalkan kapal terbang pengebom jarak jauh yang boleh mengiringi kapal dagang

U-Boat mesti sentiasa menyelam bagi mengelakkan daripada di bom oleh kapal terbang ini. Bagi mengatasi masalah ini, U-Boat mula dilengkapi dengan tandas bertekanan tinggi yang boleh digunakan ketika menyelam dan melepaskan sisa septik ketika menyelam.

Masalahnya ialah sistem ini sangat kompleks dan memerlukan seorang juruteknik khas bagi memastikan sistem ini beroperasi dengan betul. Sistem ini akan menghantar sisa septik ke ruang kedap udara sebelum juruteknik boleh melepaskan sisa septik ke dalam laut ketika menyelam dengan menggunakan udara dimampat.

Pada 14 April 1945, U-Boat dengan callsign U-1206 menyelam pada kedalaman 61 meter tidak jauh dari Scotland. Ketika menyelam, sistem tandas U-Boat ini telah dioperasikan tidak mengikut SOP yang ditetapkan. Ia menyebabkan air laut masuk melalui lubang tandas, membanjiri bateri sistem dan menyebabkan penghasilan gas klorin beracun

Kapten U-Boat tiada pilihan lain selain mengarahkan UBoat timbul di permukaan kerana bateri gagal sepenuhnya. Malang nasib U-1206 kerana ia ditemui oleh kapal terbang peronda menyebabkannya dibom oleh kapal terbang. Seorang kelasi mati ketika U-1206 dibom, 3 lagi lemas ketika cuba menyelamatkan diri.

Baki 46 anak kapal termasuk kapten ditawan sebagai tahanan perang. Anda boleh melihat dokumentari pendek berkenaan kisah tragis ini di SINI.

Google ads
Back to top button