Buletin

KLIMS 2018: NISSAN LEAF – SAH MASUK MALAYSIA TAHUN DEPAN, TEKNOLOGI & REKA BENTUK LEBIH MANTAP

Nissan LEAF serba baharu merupakan antara tarikan utama di ruang pameran Nissan di KLIMS 2018.

Menjadi ikon kepada Nissan Intelligent Mobility, kenderaan 100% elektrik dan sifar emisi itu dilapor bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada tahun depan.

Sejak dilancarkan pada tahun 2010, Nissan telah berjaya menjual lebih 350,000 unit Nissan LEAF di seluruh dunia.

Sebagaimana yang boleh anda lihat, LEAF telah direka semula sepenuhnya. Ia menggabungkan aspek jarak lebih jauh, rekaan baru yang dinamik dan teknologi-teknologi termaju.

ProPILOT DAN e-Pedal

Jentera itu kini Dilengkapi e-powertrain termaju. Dengan pek bateri 40 kWh Lithium-Ion baharu, ia kini berupaya menawarkan jarak pemanduan sehingga 400km (kitaran Japan JC08**) dengan sekali caj.

Manakala output kuasa 110kW dan tork 320Nm pula menambah baik aspek pecutan serta keseronokan memandu.

Bukan itu sahaja, LEAF menampilkan teknologi pemanduan berautonomi ProPILOT yang digunakan sewaktu memandu di laluan tunggal di lebuh raya.

Apabila diaktifkan, ia mengikut kenderaan di hadapan berdasarkan kepada jarak yang telah ditetapkan sebelumnya dan memastikan anda berada di tengah-tengah lorong (walaupun ketika berada di selekoh).

ProPILOT juga boleh menghentikan kenderaan sepenuhnya, bergantung kepada keadaan trafik dan semakin laju apabila trafik kembali bergerak.

Satu lagi inovasi yang mampu meningkatkan pengalaman memandu LEAF ialah e-Pedal. Ia membolehkan pemandu memecut, memperlahankan kenderaan, berhenti dan menetapkan kedudukan kenderaan dengan hanya menggunakan pedal minyak sahaja.

Maklum balas e-Pedal yang reaktif memaksimumkan keseronokan pemanduan EV.

V-Motion

Rekaan luaran Nissan LEAF menampilkan profail yang rendah serta kemas, sekali gus memberikannya rupa yang tajam dan dinamik.

Dengan aspek aerodinamik terbaik, gayaannya terdiri daripada lampu utama signatur berbentuk boomerang, rekaan V-motion nyata menyerlah pada bahagian hadapan, bersama gril berwarna biru cerah dan kemasan biru pada bampar belakang, seterusnya menunjukkan ia dilengkapi teknologi yang hebat.

Ruang dalaman Nissan LEAF juga telah direka semula untuk menghasilkan ambien yang menenangkan, premium dan moden. Panel hadapan baharu dalam bentuk ‘gliding wing’ memberikan pandangan yang dinamik kepada pemandu.

Sementara jahitan berwarna biru pada tempat duduk, papan pemuka dan stereng telah disepadukan sebagai satu simbol kenderaan elektrik Nissan.

BACA: NISSAN LEAF NISMO BAKAL DIJUAL DI JEPUN, JIMAT DAN SPORTY

Cakap banyak tak guna, datang tengok sendiri betapa mantapnya LEAF ini di KLIMS 2018.

GALERI

Google ads
Back to top button