Buletin

KONTROVERSI DI SEBALIK NAMA SKYLINE. SIAPA SEBENARNYA YANG CIPTA?

Memberi nama kepada sesuatu produk bukanlah sesuatu yang mudah. Nama yang dipilih mestilah catchy, mudah diingati, memberi maksud yang baik serta banyak lagi kriteria lain perlu dipenuhi.

Pengeluar kenderaan merupakan antara mereka yang bijak memberi nama ke atas model yang dihasilkan. Biarpun begitu, bukan sedikit nama yang pada asalnya kedengaran bagus, tetapi mempunyai maksud yang melucukan jika diterjemahkan ke bahasa lain.

Dalam banyak-banyak model kereta, Skyline mungkin antara nama yang paling dikenali hingga ke hari ini. Selepas lebih 60 tahun, nama Skyline terus berjaya menarik minat pengguna kenderaan di seluruh dunia.

Mujurlah ketika Prince Motor mahu menamakan sedan premiumnya, ia telah memilih perkataan yang membantu kereta itu dikenali ke seantero dunia. Sedangkan pada peringkat awalnya, tiada langsung perancangan untuk menjual kereta tersebut di luar pasaran Jepun.

Untuk makluman, Prince Motor ialah sebuah firma pengeluar kenderaan sebelum ia bergabung dengan Nissan pada tahun 1966.

Syarikat itu bermula sebagai Tachikawa Aircraft Company yang bertanggungjawab menghasilkan pelbagai jenis pesawat termasuklah Ki-36, Ki-55 dan Ki-74 untuk tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.     

Dengan pengaruh yang dimiliki oleh Skyline, maka tidak hairanlah jika ia dipilih sebagai pemenang Anugerah Memberi Nama Jepun. Anugerah yang diberikan oleh Persatuan Memberi Nama Jepun itu diangotai sekumpulan copyrighter, pereka bentuk, peguam paten typography dan sebagainya.

rhdr

Persatuan itu mengiktiraf nama-nama produk terbaik di Jepun. Selain Skyline, anugerah pada tahun ini turut diberikan kepada jenama ramen segera, Muji dan menara Tokyo Sky Tree.

Namun, asal nama Skyline itu tidak sunyi daripada kontroversi.

Menurut persatuan berkenaan, perubahan daripada nama Prince Sedan kepada Skyline dibuat oleh dua orang lelaki. Mereka ialah Presiden Fuji Presicion Industri, Ino Dan serta Pengasas Bridgestone, Shojiro Ishibashi. Ishibashi sukakan nama Skyline dan sudah mempunyai beberapa produk dengan nama hampir sama iaitu tayar Skyway serta bola golf Blue Sky.

Namun, ramai yang berpendapat bahawa nama Skyline datangnya daripada seorang jurutera Prince, Shinichro Sakurai yang juga digelar sebagai Bapa Skyline. Kita mungkin fikir bahawa ‘Skyline’ itu bermaksuda garis langit sebuah bandar yang dilihat dari jauh.

Tetapi, satu lagi maksud ‘Skyline’ ialah pemandangan gunung-ganang yang dibelakangi oleh langit. Sakurai dikatakan pergi bermain ski di Kusatsu, sebuah bandar di daerah Agatsuma di Gunma. Apabila berada di sana, dia terpegun dengan keindahan gunung-ganang tersebut yang dilihatnya dari jauh.

Mereka yang menyokong teori pertama berpendapat agak mustahil Sakurai yang hanya berusia 26 tahun ketika itu dan sekadar kakitangan bawahan mempunyai pengaruh untuk memberi nama sebuah kereta.

Golongan yang memegang kepada teori kedua pula menyatakan ada pertandingan dalaman memberi nama yang biasa dilakukan oleh syarikat Jepun pada masa dahulu.

Pertandingan itu membolehkan Sakurai untuk menyatakan nama cadangannya kepada Dan dan Ishibashi.   

Kita mungkin tidak akan tahu teori mana yang benar. Biar apa pun kisahnya, nama Skyline memberi maksud yang cukup mendalam kepada ramai orang di seluruh dunia. Skyline juga diiktiraf sebagai satu elemen penting dalam budaya Jepun.  – Japanese Nostalgic Car

Google ads
Back to top button