Buletin

PEGAWAI IMIGRESEN TERIMA SKYLINE R35, ALPHARD, LANCER. GANJARAN MUDAHKAN URUSAN KELUAR MASUK WARGA ASING

Kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terbabit dengan sindiket penyalahgunaan pengesahan cop keluar dan masuk di pintu utama negara dilapor menerima kereta mewah atas ‘kerjasama’ yang mereka berikan.

Perkara tersebut dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila berjaya merampas 21 kenderaan mewah pelbagai model milik kakitangan JIM yang diberkas sejak Isnin lalu dalam opaerasi Ops Selat.

Antara model yang dirampas ialah Nissan Skyline R35, Subaru, Toyota Alphard, Hyundai Starex, Honda Accord, Mitsubishi Lancer dan beberapa kereta import lain.

Semua kereta yang bernilai jutaan ringgit itu kini disita di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk siasatan lanjut. Empat buah motosikal berkuasa tinggi milik kakitangan JIM turut disita. 

Siasatan susulan oleh SPRM menemui wang tunai berjumlah RM132,000. Agensi berkenaan juga telah menyita wang di dalam akaun bank milik kakitangan JIM berjumlah RM616,499.

Menurut satu sumber, SPRM sangat serius dalam membongkar kegiatan rasuah berikutan penahanan 27 anggota JIM, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam baru-baru ini.

“Siasatan mendapati ejen atau orang tengah ini menggunakan wang dan kenderaan mewah untuk ‘membeli’ hati kakitangan terbabit bagi memudahkan urusan keluar masuk pekerja warga asing bermasalah dari negara ini sejak 2017,” katanya.

Siasatan SPRM menerusi operasi khas mendapati sindiket ejen warga asing tersebut sudah membelanjakan RM14.5 juta untuk menyogok pegawai SPRM sejak 4 tahun lalu.

“Ini dibuktikan apabila ada antara kakitangan JIM berpangkat rendah ditahan memiliki wang simpanan dalam jumlah tidak masuk akal serta kenderaan mewah. Bagi mengaburi pihak berkuasa, individu dikenal pasti sebagai orang tengah atau ejen kegiatan haram ini mendaftarkan kenderaan mewah menggunakan nama individu lain.

“Ini jelas melangkaui pendapatan individu terbabit yang hanya menduduki Gred KP19,” kata sumber itu kepada Harian Metro.

Siasatan turut menjurus kepada gaya hidupan mewah seperti kerap melancong ke luar negara.

Berdasarkan kepada laman web rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), gaji minima gred KP19 bagi klasifikasi perkhidmatan keselamatan dan pertahanan awam adalah RM1,360 dan maksimum RM4,052 tidak termasuk bayaran elaun.

SPRM kini sedang berusaha memburu dua lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Sehingga kini (semalam), lelaki terbabit Yuen Hon Loong, 49, dan Teo Hun Siang, 36, masih gagal ditemui. 

Selasa lalu, SPRM berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah membabitkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara dalam operasi besar-besaran bermula lewat petang Isnin. 

Dalam operasi yang dilancarkan itu, seramai 46 orang ditangkap di sekitar Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak. Ahli-ahli sindiket yang ditahan termasuk 27 pegawai JIM, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang bertindak sebagai orang tengah.

Sindiket itu menjalankan aktiviti mereka sejak setahun yang lalu dan berada di bawah radar pemantauan SPRM bermulanya penguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 pada 18 Mac lalu.

Aktiviti rasuah di kalangan anggota sindiket menjadi lebih rancak sepanjang PKP dikuatkuasakan. Sindiket ini menumpukan pekerja asing dan pekerja tanpa izin yang terkandas di negara ini akibat PKP.

“Mereka mengambil kesempatan susulan banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing atau PATI untuk pulang ke negara asal mereka,” jelas sumber. – Harian Metro

Google ads
Back to top button