Buletin

LOPAK AIR PUN ADA PENGIKUT IG CECAH 16.5K

Akaun Instagram lopak air  yang terletak di Yuzhno-Sakhalinsk, timur Rusia meraih pengikut sehingga mencecah 16.5 ribu.

Oddity Central melaporkan, akaun IG itu dibuka oleh seorang penduduk ,Nicolay ,25 sejak September lalu kerana kekecewaannya dengan kegagalan pihak berwajib membaiki masalah jalan yang menyebabkan adanya lopak besar di jalan kawasan perumahannya.

Masalah itu dilaporkan berlaku sejak 1994 dan penduduk sudah memohon pihak berkuasa melakukan kerja baik pulih.Namun, projek baik pulih yang dijadualkan pada 2014 itu ditunda ke 2017 dan terbaru pada 2024.

“Hai semua. Saya lopak berhampiran Tikhookeanskaya Street 10, Yuzhno-Sakhalinsk.

“Saya baru berusia 25 tahun dan inilah masanya untuk menawan IG,” demikian hantaran pertama dimuat naik di IG yang menjadi tular sehingga memberi tamparan hebat kepada pihak berkuasa tempatan.

Dalam masa empat hari, akaun itu sudah mengumpul lebih 3,000 pengikut dan mendapat perhatian meluas media tempatan.

Pendedahan itu menyebabkan pihak berkuasa tempatan tiada pilihan kecuali bertindak.

“Nampaknya banyak lumpur kering yang diletakkan dengan alat pembinaan yang berat.

“Namun, kita akan bertemu lagi ketika cuaca hujan ribut nanti,” demikian kapsyen dalam salah satu hantaran di IG akaun lopak air berkenaan.

Ramalan itu benar belaka dan hujan lebat tidak lama kemudian cukup untuk menyebabkan adanya lopak air di kawasan yang lebih luas berbanding sebelumnya dan kisah berkenaan dikongsikan di IG berkenaan

“Apa khabar! Rindu saya? Saya juga merindui anda semua.

“Begitu banyak, mereka cuba menutup saya tetapi tidak berjaya. Cuaca hari ini hujan jadi, jika ada yang ingin datang saya dengan senang hati akan menyambut kalian dan sedia mengambil swafoto bersama,” demikian kapsyen berbaur sindiran pada gambar dimuat naik di IG berkenaan.

Menjelang akhir bulan Oktober, lopak air yang ‘berusia’ 25 tahun itu menjadi semakin terkenal di laman sosial, dengan kehadiran YouTuber Rusia yang datang untuk mengambil gambar di situ.

Salah satu lopak itu juga menjadi tumpuan hingga tular selepas dua model mengambil gambar dengan paddle board.

Bulan lalu, pihak berkuasa Yuzhno-Sakhalinsk melakukan satu lagi kerja baik pulih dengan mengeringkannya dan sekali lagi mengisinya dengan lumpur kering yang sama .

Kerja baik pulih yang ditangguhkan hingga 2024 dikhabarkan diawalkan pada tahun depan untuk menutup malu kerana kegagalan pegawai terbabit melakukannya lebih awal. –Harian Metro

Google ads
Back to top button