DUA KAMBING ‘DIBURU’. ROSAKKAN KERETA KETIKA POLIS KENDALI BOM MORTAR
Pihak polis Isle of Wight, Britain melancarkan ‘pemburuan’ secara berseloroh mencari dua ekor kambing yang dirakam berada di atas bumbung jentera polis.
Anak kambing berkenaan melompat ke bumbung jentera polis ketika pasukan penyelamat mengendalikan penemuan bom mortar lama dipercayai dari Perang Dunia ke-2 berdekatan bandar, Newport.
“Dua ‘kanak-kanak’ menyebabkan kerosakan pada salah satu kenderaan polis.
“Sekiranya anda mengenali pelaku daripada gambar, sila maklumkan kepada kami,”kata ciapan polis.
Selain itu, pihak polis turut berkongsi dalam laman sosial Facebook bagaimana Pasukan Royal Navy Explosives meletupkan bom mortar berkenaan.
Rakaman gambar kambing berkenaan menjadi viral di media sosial sehingga meraih maklum balas dan komen daripada pengguna. – agensi