
KUALA LUMPUR BIKE WEEK 2013
Hujung minggu lalu, Kuala Lumpur Bike Week 2013 (KLBW 2013) berlangsung dengan jayanya di ruang parkir Jalan P. Ramlee, berdepan dengan pusat beli-belah KLCC.
Sudah menjadi acara tahunan untuk bikers dan amat dinanti-nantikan kehadirannya, KLBW 2013 edisi keenam berjaya menarik penyertaan lebih 8,000 bikers serta 40,000 orang pengunjung sepanjang dua hari tersebut.
Bagi menjadikan kunjungan itu berbaloi, KLBW 2013 menawarkan 100 buah gerai pameran yang menjual pelbagai jenis produk berkaitan motosikal. Seperti lazimnya, tapak pameran utama dimonopoli oleh jenama motosikal yang bernaung di bawah syarikat Kumpulan Naza. Apa lagi kalau bukan Victory Motorcycles, Harley-Davidson, Aprilia dan Vespa.
Berikutan penganjurannya yang semakin matang, para peserta KLBW 2013 datang dari negara-negara serantau seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, Cambodia. Malah bikers dari Australia dan Eropah turut mengambil bahagian.
Menurut penganjurnya, Red Garage Malaysia Red Garage), berbeza dengan tahun-tahun terdahulu, spektrum KLBW 2013 nampaknya lebih terbuka. Jika sebelum ini ia seakan-akan fokus kepada motosikal jenis chopper, kini kategorinya terbuka untuk superbike, touring, klasik dan café racer. Jentera yang menyertai pertandingan pada KLBW 2013 kemudian diadili oleh juri dari Jogjakarta, Indonesia.
Bagi memastikan pengunjung terus terhibur, persembahan daripada artis-artis tempatan berlangsung sepanjang hari. Antara artis yang terlibat ialah Pure Vibration, Republic Brickfields, Kugiran Tepi Pantai, Waris dan ramai lagi.
Berada di sana selama beberapa jam, saya perlu akui bahawa atmosferanya amat meriah. Bingit enjin dan ekzos motosikal berkuasa tinggi seolah-olah menjadi suatu bunyi yang sedap didengar oleh semua pengunjung di sana.
KLBW pada tahun ini menyaksikan beberapa elemen baharu dimasukkan. Ini termasuklah aktiviti mengumpul dana dan sumbangan untuk membantu anak-anak mangsa banjir di negeri pantai Timur.
Dikendalikan oleh Dira Abu Zahar, aktiviti mengumpul dana itu turut melibatkan lelongan barang-barang artis. Wang lelongan itu kemudian digunakan untuk mencapai misi membeli 1,000 pasang pakaian sekolah. Red Garage mensasarkan untuk memperoleh sumbangan sebanyak RM50,000 sepanjang acara ini berlangsung.
Lebih menarik lagi, pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) oleh pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk golongan bikers turut dilaksanakan. Untuk makluman, ini merupakan penyertaan pertama kementerian terbabit secara serius.
Justeru, konvoi Tahun Melawat Malaysia 2014 yang diketuai oleh penyanyi Awie Wings dijalankan. Awie dikatakan mengelilingi bandar raya Kuala Lumpur sambil membawa bendera TMM 2014.
Selaku penganjur, Red Garage berharap KLBW 2013 akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan di Malaysia. Alasannya mudah, inilah satu acara yang ditunggu-tunggu oleh para bikers terutama di Asia Tenggara!
[hr]Galeri