Buletin

HONDA FIT DIPERTINGKAT DI JEPUN, TAMBAH CIRI ASAS, DARIPADA RM53 RIBU

Kepada pengguna yang berhajat dengan Jazz, Honda mempunyai dua produk pengganti iaitu City Hatchback dan WR-V.

Jika masih tidak berkenan, Jazz atau Fit dibawa masuk oleh pengimport bebas. Fit sekarang berada di dalam generasi keempat dan dikeluarkan sejak 2020.

Terbaru untuk pasaran Jepun, Honda memperkenalkan Fit 2024/2025 dengan sejumlah peningkatan dan mula ditawarkan pada 5 September.

Rekaan luar masih sama dan Honda menumpukan pada perkakasan dalaman.

Semua varian Fit dilengkapi cermin sisi lipat automatik, tingkap automatik, poket belakang kerusi dan lampu ruang bagasi.

Selain perkakasan asas, Honda turut menambah kelengkapan mengikut varian. Sebagai contoh Fit e:HEV HOME dan varian teratas LUXE menerima kerusi pemandu dengan poket belakang.

Fit HOME dilengkapi stereng dan sarung batang gear balutan kulit. Fit RS turut dilengkapi kerusi pemandu dengan poket belakang dan poket telefon untuk kegunaan penumpang.

Lagi varian dengan kerusi pemandu dengan poket belakang ialah Fit e:HEV RS dan penumpang belakang disediakan perehat tangan tengah.

CROSSTAR e:HEV lengkap dengan kerusi dan sarung batang gear balutan kulit, kerusi pemandu dengan poket belakang, konsol tengah dengan perehat tangan dan pemegang cawan.

Fit Crosstar juga sama dan penumpang belakang disediakan poket untuk menyimpan telefon pada bahagian belakang kerusi depan.

Fit ditawarkan dalam dua pilihan rangkaian kuasa iaitu 1.5 liter i-VTEC dengan padanan kotak gear CVT. Kuasa yang dihasilkan 118 ps pada 6,600 rpm dan tork 142Nm pada 4,300 rpm.

Sebuah lagi enjin ialah 1.5 liter i-VTEC hibrid dengan dua motor atau e:HEV. Enjin memiliki kuasa 106 ps dari 6,000 sehingga 6,400 rpm dan 127Nm dari 4,000 sehingga 4,500 rpm.

Motor elektrik menghasilkan 123 ps dari 3,500 sehingga 8,000 rpm dan tork 253Nm dari 0 sehingga 3,000 rpm.

Kesemua varian mempunyai pilihan pacuan dua roda depan (FF) dan empat roda (4WD) kecuali Fit RS dan e:HEV RS.

Harga bermula dari 1,720,400 yen (RM52,590) untuk Fit Basic FF sehingga 2,506,900 yen (RM76,670) bagi varian teratas Luxe 4WD.

Fit e:HEV pula dari 2,138,400 yen (RM65,452) bagi varian asas Basic FF manakala varian teratas Luxe 4WD berharga 2,846,800 yen (RM87,165).

Selain model biasa, Honda menawarkan Fit dengan kerusi depan boleh pusing untuk mereka yang memerlukan.

Google ads
Back to top button