Artikel Pilihan

TOYOTA ORIGIN – MODEL ALA KLASIK YANG KITA TIDAK PERNAH TAHU

Usah ditanya mengapa sejak akhir akhir ini BK kerap berkongsi perihal kereta dengan model model klasik. Toyota juga sebenarnya tidak terkecuali dalam pengenalan model klasik kepada pasaran. Sememangnya budaya Jepun ini lain macam sikit. Sebagai tanda menghormati kepada otai model kereta, maka inilah dia, Toyota Origin. Sebuah model ala klasik.

Kita tengok penampilan luaran kereta sebegini sebenarnya memang kita boleh menduga, ianya adalah kacukan daripada kereta moden kepada sebuah kereta klasik dan retro. Tapi model apakah yang digunapakai? Tak mungkin Camry atau pun Vios apatah lagi. Sebenarnya Toyota telah menggunakan Toyota Progrès daripada pelantar Toyota N sebagai asas kepada Toyota Origin ini. Untuk yang tidah tahu, Toyota Progrès ini merupakan sebuah model mewah yang bersaiz sederhana, menjadikan ianya cukup ideal untuk disumpah menjadi model klasik, Toyota Origin.

Toyota Origin ini sebenarnya adalah jelmaan kepada model pertama Toyopet Crown, terutamanya pada bahagian lampu utama berbentuk bulat dan juga gril krom yang melengkok ke bawah itu. Iya, memang itulah rupa sebenarnya Toyopet Crown generasi pertama suatu ketika dahulu. Bampar krom turut menyerlahkan lagi efek retro kepada Toyota Origin ini.

Paling menarik sebenarnya adalah Toyota Origin ini menggunakan suicide door. Baru nampak acah – acah mahal. Sebenarnya memang mahal pun ketika mula mula dijual. Harganya adalah ¥7,000,000 (RM280,981), lebih mahal daripada model utama, Toyota Celsior ketika itu. Cukup untuk membayangkan prestij yang ada Toyota Origin ini. Sebenarnya antara fungsi suicide door tersebut adalah membolehkan bos yang duduk di belakang tidak terhantuk kepala disebabkan oleh potongan tiang C yang sebegitu rupa demi mendapatkan imej klasik. Kalau guna pintu belakang tipikal, jenuhlah asyik terhantuk saja nanti.

Tugas untuk menggerakan badan kereta ini diserahkan kepada enjin 2JZ-GE yang bersesaran 3.0 liter ini mampu menghasilkan kuasa sekitar 212 hp. Enjin NA ini dipadankan dengan kotak gear auto empat kelajuan.

Model khas yang dikeluarkan antara tahun 2000 – 2001 pada mulanya disasarkan untuk jumlah yang terhad 1,000 unit sahaja. Tapi menurut perkhabaran, sejumlah 1,073 unit Toyota Origin ini telah dikeluarkan yang dikhususkan untuk pasaran domestik Jepun sahaja. Tapi kini ianya sudah mula dieksport ke luar Jepun oleh penggemar JDM. Dan antaranya sudah pun berada di New Zealand. Hebat!

Kredit Foto : nzautocar.co.nz

BACA : SUBARU IMPREZA CASA BLANCA – WAGON KLASIK UNTUK MASA DEPAN

BACA : TOYOTA CENTURY 2018 – GAYA SELESAN DAN MEWAH

Google ads

B K

Back to top button