
LAMBORGHINI AUTENTICA DAN INVENCIBLE, MODEL AKHIR SEBELUM HIBRID!
Hanya beberapa minggu sebelum kereta super sport hibrid ditampilkan buat kali pertama, Lamborghini memperkenalkan coupé Invencible dan roadster Auténtica.
Dua model one-off itu merupakan projek khas yang melibatkan pelanggan dari awal bagi menghasilkan dua buah kereta yang benar-benar unik.
Dua model itu juga dibuat bagi meraikan enjin V12 naturally-aspirated yang membentuk karakter Lamborghini sebelum rangkaian kuasa hibrid diisi pada ruang enjin model Lamborghini baharu.
Invencible dan Auténtica adalah lambang penghormatan kepada rekaan terbaik model sebelum ini seperti Sesto Elemento dengan ciri-ciri ringan dan sukan permotoran yang boleh dilihat pada sayap belakang besar.
Ciri Reventón pula boleh dilihat pada gayaan aeronautikal dan Veneno yang membawa kesempurnaan aerodinamik pada tahap ekstrem.
Selain membawa keunggulan tersebut, kedua-dua model juga membawa pengaruh litar lumba.
Invencible dan Auténtica menggunakan casis monocoque gentian karbon sama seperti Aventador dan badan karbon penuh dengan rekaan dan teknologi yang berjaya diuji Lamborghini di dalam sukan permotoran.
Bonet yang menyerlah ala Essenza SCV12 dan pemisah depan yang lengkap dengan topang menegak direka bagi menguruskan laluan udara dengan cara yang paling cekap.
Corak heksagon yang merupakan identiti moden Lamborghini disepadukan dengan harmoni dan mudah dilihat pada beberapa elemen seperti lampu nyalaan LED depan dan lampu belakang.
Liang udara pada bonet pula mengingatkan kepada Seston Elemento dan ciri sama diulang pada tiga ekzos di tengah dengan muncung Inconel iaitu besi aloi berprestasi tinggi dari industri aeroangkasa.
Bahagian dalam pula didominasi garisan kemas dengan papan pemuka minimalis dan diserlahkan melalui corong udara cetakan 3D.
Menariknya, tiada panel instrumen pada konsol bagi menonjolkan sisi kabin yang ringkas dan memberikan perhatian kepada keseronokan pemanduan.
Kokpit kereta menggunakan rangka gentian karbon dengan meter bacaan digital dan grafik khas untuk kedua-dua model.
Badan Invencible menggunakan warna merah dan elemen ala karbon yang dipertingkatkan lagi dengan kepingan merah.
Warna Rosso Efesto ditemani bendul dan bingkai pintu daripada karbon sama seperti angkup brek dalam warna Rosso Mars di sebalik rim nat tunggal dengan reraut gentian karbon untuk pengudaraan komponen brek.
Pada bahagian dalam, warna luar diulang dan dikontra bersama kulit Rosso Alala dan Alcantara Nero Cosmus dengan sulaman khas dalam warna Rosso Alala dam Nero Ade.
Logo Lamborghini pada papan pemuka dibuat dalam warna Rosso Efesto dan sama seperti pedal tukaran gear pada stereng.
Bahagian luar Auténtica menggunakan warna Grigio Titans dengan perincian Hitam Kusam dan grafik warna Giallo Auge (kuning) dan diulang pada angkup brek kuning dan dan komponen aerodinamik utama.
Sebagai sebuah roadster, Auténtica dipasang roll bar ala kereta lumba era terdahulu. Bahagian dalam menggunakan sulaman Giallo Taurus dengan kulit Nero Ade dan Alcantara dua warna Nero Cosmus dan Grigio Octans.
Invencible dan Auténtica merupakan model Lamborghini terakhir menggunakan enjin 6.5 liter V12 dengan posisi membujur di belakang (Longitudinale Posteriore/LP) sebelum peralihan ke era hibrid.
Enjin V12 itu menghamburkan 769 hp dan tork 720Nm pada 6,750 rpm dan dipadan bersama kotak gear tujuh kelajuan ISR, pacuan empat roda dan sistem Lamborghini Dynamic Steering bagi mengawal kesemua roda.
BACA: LAMBORGHINI PECAH REKOD PADA 2022, MESTILAH URUS PALING LAKU!
BACA: LAMBORGHINI DIABLO, KERETA SUPER SPORT PERTAMA LAMBO DIPACU 4 RODA
BACA: LAMBORGHINI SIÁN FKP 37 BUAT GUNA LEGO IKUT SAIZ SEBENAR!















