Buletin

LAMBORGHINI SC18, 770 HP 720 NM, SEBUAH SAHAJA DI DUNIA

Jika anda mengikuti media sosial milik influencer kereta berprestasi pasti asyik dengan feed mereka dan rakan-rakan. Kereta yang mahal selamba sahaja diubah suai dan menariknya mereka tidak hanya mempunyai sebuah tetapi koleksi kereta menggagumkan.

Biasanya mereka adalah prospek dan pelanggan kepada model terbaru dan edisi istimewa untuk pengeluar ternama dunia.

Ini ada sebuah lagi model one-off yang dikenali sebagai SC18 dan menariknya model pertama dikeluarkan oleh bahagian permotoran Lamborghini Squadra Corse.

Model ini dibangunkan bersama dengan pelanggan dan menariknya untuk digunakan di litar lumba tetapi pada masa yang sama sah dipandu di atas jalan raya awam.

Projek SC18 ini adalah pembuka jalan kepada pelanggan lain yang mahu menempah khas Lamborghini mereka dengan Squadra Corse.

Menepati objektifnya sebagai kereta dwi fungsi, SC18 tampil dengan pakej aerodinamik ekstrem yang dibangunkan khas untuknya sahaja dan hasil daripada pengalaman Squadra Corse dalam dunia perlumbaan.

Elemen perlumbaan meliputi hampir kesemua badan kereta dari hud depan dan liang kemasukan udara ala Huracán GT3 EVO manakala bahagian sisi dan belakang seperti fender, sirip dan corong udara mengikut ciri-ciri Huracán Super Trofeo EVO.

Pakej aerodinamik disudahi dengan spoiler gentian karbon yang mempunyai tiga larasan mekanikal dan mampu menjana tenaga mendapan optimum di mana-mana litar lumba.

Selain itu, 12 liang udara pada hud belakang yang telah teruji dalam perlumbaan endurans berjaya meningkatkan kadar penyejukan enjin V12 pada kereta ini.

Nadi kuasa SC18 adalah terbaik daripada Lamborghini dengan prestasi kereta lumba sebenar. Enjin bersesaran 6.5 liter V12 ini berkuasa 770 hp pada 8,500 rpm dengan tork 720 Nm pada 6,750 rpm.

Enjin aspirasi normal itu dipadankan bersama transmisi ISR (Independent Shifting Rod) tujuh kelajuan. Selain enjin berkuasa tinggi, SC18 dilengkapi badan yang diperbuat dari material ringan gentian karbon dan ia begitu rendah di jalan raya dengan jarak kelegaan hanya 109 mm.

SC18 turut dilengkapi sistem telemetri untuk merekod prestasi pemanduan di litar.

Sentuhan di atas jalan digalas tayar dibuat khas iaitu Pirelli P Zero Corsa dan rim dengan nut tunggal untuk roda berukuran 20 inci di depan dan 21 inci di belakang.

Bahagian dalaman kereta dilengkapi kemasan Alcantara Nero Ade (hitam) dengan sulaman Rosso Alala (merah) dan kerusi bucket gentian karbon.

Unit eksklusif ini dilitupi warna gentian kaca dalam Grigio Daytona (kelabu) kemasan cetakan skrin merah bagi menambah aura prestasinya.

Siapakah pemilik Lamborghini SC18 ini? Belum ditemui lagi dalam media sosial?

BACA: FAKTA PENJAGAAN LAMBORGHINI GALLARDO. (BERANGAN TAK SALAH KAN?)

BACA: ESPADA & ISLERO – 2 MODEL KLASIK LAMBORGHINI BERUSIA SETENGAH ABAD

Google ads
Back to top button