BuletinMotosikal

TUAH BADAN, MARC MÁRQUEZ TERIMA HADIAH DARI BMW KALI KE-6!

Marc Márquez tidak menamatkan perlumbaan pusingan akhir MotoGP di Valencia, Sepanyol tetapi itu tidak menjadi masalah kerana beliau telah pun dinobatkan sebagai juara dunia. Honda pula diisytihar juara pengeluar selepas pesaing terdekat Yamaha gagal memperolehi mata mencukupi.

Selain menjadi juara dunia, Marc Márquez turut menerima Anugerah BMW M selepas mencatat markah tertinggi dalam cabaran masa terpantas pusingan kelayakan dalam musim ini.

Anugerah ini mula dianjurkan sejak 2003 dan akan diberikan pada penghujung musim perlumbaan. Marc Márquez memang hebat, beliau telah memenangi anugerah ini sebanyak enam kali dan tiada lagi pelumba yang berjaya menghampirinya.

Bagaimana markah anugerah ini dikira? Markah diambil setiap kali pusingan kelayakan berlangsung dan dikumpulkan sehingga membentuk ranking tertinggi. Anugerah ini ibarat perlumbaan dalam perlumbaan, siapa mencatat masa kelayakan terpantas dia juara.

Selain Marc Márquez, beberapa pelumba tersohor turut memenanginya sebelum ini seperti Valentino Rossi dan Casey Stoner sebanyak tiga kali, Jorge Lorenzo dua kali, Sete Gibernau dan Nicky Hayden sekali.

Hadiahnya ialah sebuah kereta BMW dan tahun ini Marc Márquez memenangi model prestasi M3 CS. Majlis penganugerahan dibuat pada Sabtu lepas sempena pusingan terakhir MotoGP di Valencia.

BMW M3 CS yang dihadiahkan ini adalah model luar biasa dan merupakan M3 paling berkuasa dalam sejarahnya. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya mengambil masa 3.9 saat.

Kereta ini dikuasakan oleh enjin M TwinPower Turbo 460 hp dengan tork 600Nm. Ia padankan bersama transmisi tujuh kelajuan berkembar M dengan teknologi Drivelogic.

Untuk pengendalian mantap hingga ke hadnya, kereta ini dilengkapi suspensi adaptif M. Bahagian luar dihiasi warna Frozen Dark Blue dan roda aloi 19 inci.

Marc Márquez pertama kali memenangi Anugerah BMW M pada tahun 2013 dan menjadi rookie pertama untuk kedudukan tersebut. Selepas itu adalah sejarah, beliau menerima kereta BMW untuk tahun 2014, 2015, 2016 dan pelumba pertama memenanginya untuk tiga dan empat kali berturut-turut.

Tahun ini sekali lagi menang dengan 341 mata dengan 73 mata di hadapan pesaing terdekat Andrea Dovizioso.

Tahniah Marc Márquez! Adakah tahun depan beliau bakal menang sebuah BMW buat kali ketujuh? Pasti menarik kerana Jorge Lorenzo adalah rakan sepasukan beliau.

BACA: NAH BACA. FAKTA PENJAGAAN SEBUAH BMW 3 SERIES – F30

BACA: 9 CIRI BARU BMW R1250GS UNTUK TAHUN 2019 – MAKIN LAMA MAKIN CANGGIH

Google ads
Back to top button