TESLA MODEL Y LANGGAR TESLA MODEL S – KALI PERTAMA BERLAKU KOT
Satu kemalangan melibatkan dua buah model Tesla dirakam dalam sebuah terowong di Hong Kong baru-baru ini. Ia melibatkan sebuah Model Y yang terlanggar tebing sisi jalan di dalam terowong mengakibatkan pemandunya hilang kawalan dan melanggar sebuah Model S yang datang dari arah bertentangan di lorong bersebelahan.
Rakaman kemalangan yang berlaku pada 12 Januari lepas sekitar jam 1.00 pagi disiarkan di laman Facebook dan Youtube. Laporan berita Hong Kong menyatakan kemalangan berlaku di Hung Hom Cross-Harbour Tunnel dan menghubungkan Kowloon dan pulau Hong Kong.
Ia disebabkan oleTesla Model Y berwarna hitam yang baru memasuki terowong dan pemandunya gagal menyedari tebing sisi jalan yang agak tinggi. Sebaik melanggar tebing jalan terbabit kemungkinan besar pemandunya gagal mengawal kenderaan menyebabkan ianya memasuki lorong sebelah dan bertembung dengan sebuah lagi Tesla yang datang dari arah hadapan.
Rakaman foto selepas kemalangan jelas menunjukkan impak yang berlaku cukup kuat dengan bahagian bonet dan bampar yang reput. Beg udara juga turut diaktifkan untuk melindungi pemandu dan penumpang.
Tiga orang cedera dalam kemalangan termasuk seorang penumpang selain pemandu kedua-dua model EV terbabit. Sebuah kereta lain turut mengalami kerosakan akibat gagal berhenti dan melanggar bahagian belakang Tesla Model S.
Okey, kali ni sebenarnya bukan masalah teknikal tetapi jelas ia kegagalan pemandu. Cuma ia menarik perhatian ramai kerana melibatkan dua buah model Tesla. Kira rare la kan?