
LEBIH 1.6 JUTA PRODUK TIRUAN MERCEDES-BENZ DIRAMPAS PADA 2023!
Dari segi rekaan terdapat produk tiruan yang sukar dibezakan dengan produk tulen. Keadaan itu boleh mendatangkan masalah seperti penipuan penjualan dan isu keselamatan.
Menyedari keadaan tersebut, pengeluar seperti Mercedes-Benz tidak duduk diam dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan badan penguatkuasa undang-undang.
Mercedes-Benz menumpukan pada barangan palsu yang berkaitan keselamatan dan boleh mendatangkan bahaya kepada semua pengguna jalan raya jika tidak mempunyai mutu sepadan perkakasan tulen.

Sebagai contoh pada Mei dan Jun 2023 penapis udara kertas palsu telah dirampas yang boleh mengakibatkan kemalangan serius selepas pemasangan.
Beberapa barangan lain turut dirampas seperti perkakasan brek, badan, stereng dan rim.
Apa jadi selepas dirampas? Dilupuskan! Pada tahun 2023 sahaja, pihak berkuasa merampas lebih daripada 1.6 juta perkakasan Mercedes-Benz di lebih 740 serbuan di serata dunia.
Jumlah serbuan pada 2023 melonjak hampir 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Serbuan biasanya disusuli selepas penyiasatan dan persediaan berbulan-bulan lamanya.
Pelindung jenama di Mercedes-Benz sentiasa memeriksa laman web, menyiasat tanda-tanda pemalsuan dan menjalankan penyelidikan intensif bagi mengenalpasti kilang pemalsu barangan.
Maklumat tersebut disampaikan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk melakukan serbuan.
Bagi mengenalpasti produk palsu dengan berkesan, mata yang terlatih dan pengalaman bertahun-tahun diperlukan memandangkan produk tiruan selalunya hampir tidak berbeza secara visual dengan produk tulen.
Bahagian Penguatkuasaan Harta Intelek Mercede-Benz kerap dihubungi oleh pihak berkuasa bagi mengesahkan dengan pantas perkakasan tiruan.
Pada tahun 2023, purata lebih daripada dua serbuan dilakukan setiap sehari di serata dunia.
Rangkaian pemalsuan semakin beralih ke platform dalam talian dan media sosial bagi mengedarkan produk tiruan secara besar-besaran dan menggunakan nama samaran atau palsu.
Mercedes-Benz terus mengembangkan langkah anti pemalsuan strategik dan operasi termasuk di dalam talian.
Pada 2023, pelindung jenama Mercedes-Benz telah memadam lebih 142,000 tawaran produk tiruan dan kandungan yang melanggar hak tanda dagang.
Strategi perlindungan jenama Mercedes-Benz berdasarkan tiga paksi iaitu mengesan, menyerang dan mencegah.
Pelindung jenama Mercedes-Benz sentiasa memberi sokongan kepada pihak berkuasa dan penyedia perkhidmatan melalui program latihan dan menyediakan bahan maklumat bagi meningkatkan kesedaran.
Kaedah mengenalpasti barang tiruan
- Memeriksa dengan teliti tawaran yang menarik
- Di antara ‘red flag’ seperti harga yang begitu rendah, mutu produk yang tidak normal atau jualan melalui sumber (dalam talian) yang meragukan
- Produk tiruan juga boleh dikenalpasti melalui gambar produk atau nama