Artikel Pilihan

PORSCHE C88, PROJEK KERETA RAKYAT YANG GAGAL!!!. TIARA LAGI SMART

Pada tahun 1994, lanskap perniagaan Porche diambang kekalahan dengan masalah kewangan yang meruncing sebelum ia diserap masuk dalam kumpulan Volkswagen. Hanya model 911 sahaja yang laku, model Boxster belum lagi diilhamkan manakala model 968 dan 928 tidak membawa keuntungan seperti yang diharapkan

Pada masa yang sama kerajaan China mengalami kepesatan ekonomi yang laju dan rakyatnya perlukan sebuah kereta yang mampu milik, muat 5 penumpang, jimat petrol, boleh dihasilkan secara JV dengan First Automotive Works dan merupakan jelmaan Volkswagen Beetle versi China

Porsche sebenarnya ada satu lagi cabang perniagaan yang dikenali dengan nama Porsche Engineering, yang memberi input dalam pembangunan Audi RS2, Vauxhall Zafira dan Seat Ibiza. Dengan populasi rakyat mencapai 1.2 billion, China adalah satu pasaran yang cukup lumayan sekiranya projek ini berjaya

Untuk merealisasikan projek ini, kerajaan China menjemput sekitar 20 syarikat automotif antarabangsa untuk menjual idea kereta rakyat pertama kepada China pad bulan November 1994. Sekiranya terpilih, syarikat yang berjaya akan diberikan kebenaran menghasilkan kenderaan dan pembangunan dengan First Automotive Works (FAW) pada awal tahun 2000.

Porsche Engineering memang mencuba bersungguh sungguh dengan projek ini, menemuramah pemilik perniagaan, wartawan dan rakyat biasa bagi mencari idea apakah ciri-ciri kereta rakyat yang diperlukan oleh pengguna China

Hasilnya dikonklusikan dalam projek yang dinamakan sebagai Porsche C88, dengan huruf C melambangkan negara China manakala angka 88 melambangkan kekayaan dan kejayaan. Tapi berbeza dengan kereta Porsche yang lain, rekaan luarnya memang huduh.

Ia direka dengan konsep pembinaan yang mudah, kos yang rendah dan boleh digunakan sebagai asas untuk menghasilkan kenderaan yang lain seperti pikap. Malah C88 juga tidak menggunakan sebarang logo Porsche langsung, hanya dipasang dengan logo sfera yang disambung dalam rekaan 3 segi bagi membayangkan polisi kerajaan China pada waktu itu iaitu satu keluarga seorang anak sahaja.

Model prototaip Porsche C88 ini dihasilkan dalam masa 4 bulan sahaja selepas idea ini diketengahkan kepada kerajaan China pada November 1994. Ketika konsep rekaan, Porsche Engineering meletakkan Volkswagen Beetle sebagai panduan untuk membina kereta rakyat pertama China

Ia haruslah ringkas, murah, lasak, luas, senang untuk dibuat, boleh melalui jalan tidak berturap dengan baik dan mudah untuk diselenggara. Malah juruteknik dan jurutera dari negara China dibawa ke Jerman bagi membantu proses rekaan akhir C88

Bekas CEO Porsche Wendelin Wiedeking pernah menerangkan yang projek C88 akan dibahagikan kepada 3 kategori. Kategori pertama ialah kereta kompak murah 3 pintu dengan enjin 1100cc 4 silinder yang menjana 47 kuasa kuda dan transmisi 4 kelajuan automatik

Dengan harga jualan RM 29,000 kereta kompak C88 ini mengambil masa 20 saat untuk mencapai 100km/jam. Kategori kedua ialah C88 sedan samaada 2 atau 4 pintu tetapi dengan enjin 1100cc yang sama. Pecutan 0-100km/jam menjadi 22 saat dengan harga ditetapkan antara RM 39,000 – 42,000.

Model terakhir ialah kereta sedan dengan panjang 4030mm, lebar 1621mm dan tinggi 1430mm, dan kereta ini lebih kecil sedikit berbanding dengan Volkswagen Fox Sedan generasi pertama. Kereta ini dikuasakan dengan enjin 1100cc yang menjana 67 kuasa kuda, pacuan roda depan dan transmisi 5 kelajuan manual.

Varian ini adalah varian paling berkuasa dengan pecutan 0-100km/jam dalam masa 16 saat dan halaju tertinggi ialah 165km/jam. Terdapat juga varian 1600cc diesel yang menjana 67 kuasa kuda yang dirancang oleh Porsche

Sistem keselamatan termasuklah 2 beg udara dan juga brek ABS, kira OK juga untuk tahun 2000. Malah versi ketiga juga direka dengan memenuhi regulasi keselamatan dan pelepasan asap EU. Rekaan papan pemuka pula nampak terlalu asas dengan suis rotari, balutan kusyen berwarna terang, stering 2 spoke dan meter analog jarum

Bahagian luar pula menggunakan bampar hitam tidak dicat serta rim besi 15 inci. Bagi menjayakan rancangan ini, Porsche juga merancang untuk membina kilang di China dengan kapasiti mencapai 500,000 unit kenderaan setahun. Malah Porsche juga sanggup melatih tenagakerja dari China bagi jaminan kualiti pemasangan

Chrysler, Fiat, Ford, Mercedes-Benz, Mitsubishi, Opel dan Porsche adalah antara syarikat yang menghantar prototaip rekaan tetapi tiada pemenang yang diumumkan oleh kerajaan China pada ketika itu. Malah projek kereta rakyat juga dihentikan tanpa alasan munasabah

Keadaan ini menyebabkan banyak syarikat yang telah menghabiskan masa serta tenaga merasa kecewa dan tertipu. Porche Engineering pula cuba menawarkan kereta ini kepada banyak pelabur dari India, tetapi tiada siapa yang berminat menyebabkan model konsep ini tersadai di muzium Porsche Stuttgart.

Google ads
Back to top button