STEP UP ALL IN
Filem: Step Up All In
Genre: Muzikal
Pengarah: Trish Sie
Pelakon: Ryan Guzman, Briana Evigan, Adam Sevani, Misha Gabriel, Stephen Boss, Mari Koda
Bintang: ***
NASKHAH ini merupakan siri yang kelima dalam francais Step Up yang dimulakan dengan Step Up pada tahun 2006 – filem yang telah menaikkan nama aktor kacak dan sasa, Channing Tatum. Bagi audiens yang secara fanatik mengikuti siri filem ini, sudah pasti harapan utama adalah naskhah ini akan lebih hebat daripada empat siri terdahulu, terutama yang keempat, Step Up 4: Revolution (2012).
Percubaan yang baik untuk menjadikan naskhah kelima Step Up ini menjadi yang terhebat adalah dengan mengumpul hampir kesemua pelakon karakter penting yang pernah muncul dalam siri filem ini. Kisah disambung daripada babak akhir Step Up 4: Revolution selepas sekumpulan penari kelahiran Miami yang menggelarkan diri mereka sebagai The Mob datang ke Los Angeles bagi menjalani penggambaran untuk iklan jenama Nike.
Namun, berlaku kekalutan. Mereka semua bercadang untuk kembali semula ke Miami kecuali Sean (Ryan Guzman) yang mahu menempa nama di Hollywood. Dihambat rasa marah apabila berasa ditipu oleh rakan baiknya, Eddy (Misha Gabriel), Sean mengambil keputusan untuk bekerja di studio tarian milik nenek dan datuk Moose (Adam Sevani). Apabila hos VH1, Alexxa Brava (Izabella Miko) mengumumkan tentang sebuah program realiti TV pencarian bakat sebuah kumpulan penari terbaik, Sean lalu bercadang menubuhkan sebuah grup penari yang baru.
Harus tahu, Moose pernah muncul dalam tiga siri Step Up sebelum ini. Tidak cukup dengan itu, Sean dipertemukan dengan pasangan tarian baharunya, Andie (Brianna Evigan) – karakter heroin Step Up 2: The Street (2008). Gerak tari ala mendiang Michael Jackson yang merupakan trademark Moose sememangnya dinanti-nantikan peminat fanatik Step Up.
Namun malangnya, naskhah ini gagal meletakkannya sebaris dengan empat siri Step Up sebelum ini. Koreografi tarian gagal memukau sama tahap seperti yang pernah ditonjolkan terutama menerusi Step Up 2: The Streets dan Step Up 3D (2010).
Faktor utama sudah tentu plot perjalanan cerita yang klise. Sebaik adegan pertama tarian ditonjolkan, perjalanan cerita seterusnya dalam naskhah ini sudah boleh dijangka. Ini menyebabkan perasaan teruja menjadi kendur untuk mengikuti apa yang bakal dipersembahkan selama 85 minit filem ini berputar.
Sayang sekali, babak klimaks tarian naskhah ini yang menampilkan tarian Sean dan Andie diiringi lagu nyanyian Bobby Brown, Every Little Step bersama di sebuah taman tema yang kosong kelihatan seperti adegan filem muzikal zaman silam. Klise dan anti inovatif.
Namun, ada elemen yang boleh dipuji dalam naskhah kali ini. Dialog karakter-karakter terserlah lebih baik daripada empat siri Step Up sebelum ini. Terutama yang dilontarkan oleh Ana (Karin Karnoval) dan Boris (Frank Crudele) yang masing-masing merupakan nenek dan datuk Moose. Ia menyuntik dos maruah ke dalam filem yang sarat dengan muzikal yang biasanya dipandang ringan sebagai sesuatu yang kurang bermaruah dalam kehidupan ini.
Naskhah ini bagaimanapun masih tetap membuatkan jantung berdetak dan kaki berhayun untuk mengikut rentak tarinya. Cuma tahap keterujaannya itu sedikit merudum selepas harapan untuk menikmati hasil terhebat Step Up yang mula menakluk layar perak sejak lapan tahun itu tidak tercapai.