
X-MEN: DAYS OF FUTURE PAST
Filem: X-Men: Days of Future Past
Genre: Fantasi, sains-fiksyen, aksi
Pengarah: Bryan Singer
Pelakon: Hugh Jackman, James McAvoy, Michael Fassbender, Jennifer Lawrence, Halle Berry, Nicholas Hoult, Anna Paquin, Ellen Page, Shawn Ashmore, Fan Bingbing, Ian McKellen dan Patrick Stewart.
Bintang: ****
Judulnya sahaja sudah menggambarkan betapa naskhah mutakhir X-Men ini mengenai perjalanan masa – masa depan dan silam.
Judul itu juga menunjukkan betapa naskhah ketujuh siri filem pecah panggung X Men ini paling bercita-cita tinggi untuk mengatasi kesemua enam naskhah tentang X-Men sebelum ini iaitu X Men, X2, X-Men: The Last Stand, X-Men Origins- Wolverine, X-Men: First Class dan The Wolverine – baik dari segi aksi mahupun elemen dramatiknya.
Awal filem ini dimulakan dengan masa depan yang gelap buat golongan mutan. Impak persengketaan sekian lama antara mutan dan bukan mutan (manusia), berakhir dengan manusia telah berjaya membina askar robot yang dikenali sebagai Sentinels.
Fungsi Sentinels adalah untuk membunuh segala mutan yang wujud di dunia. Perang kini antara mutan dan Sentinels. Impaknya, mutan bakal pupus. Bayangkan sahaja apabila Storm (Halle Berry) turut mati dibunuh Sentinels.
Puncanya ialah daripada golongan mutan itu sendiri – Raven atau Mystique (Jennifer Lawrence) yang pada era 1970-an telah membunuh saintis anti-mutan, Dr. Trask (Peter Dinklage). Namun malangnya Raven ditangkap dan DNAnya kemudian digunakan untuk mencipta Sentinels.
Tiada cara lain, Profesor Xavier (Patrick Stewart) dan Magneto (Ian McKellan) menghantar Wolverine (Hugh Jackman) kembali ke era 1970an dengan bantuan kuasa yang ada pada Kitty (Ellen Page). Matlamatnya adalah untuk menghalang Raven daripada membunuh Dr. Trask, sekaligus mengubah sejarah supaya Sentinels gagal dicipta.
Ia bukan mudah buat Wolverine, kerana pada era tersebut, Profesor Xavier, Magneto dan Raven berada pada usia muda mereka. Sementelah, ketiga-tiganya langsung tidak mengenali Wolverine dan idea tentang Sentinels. Malah Wolverine yang merupakan utusan daripada masa depan, langsung tidak masuk dalam logik akal mereka.
Secara amnya, plot kembali ke zaman silam dan mengubah sejarah naskhah dirasakan sudah lapuk kerana sudah terlalu banyak dipaparkan produksi Hollywood sebelum ini. Namun, ada istilah, ‘tidak lapuk ditelan zaman’. Itu yang sukses digapai naskhah ini.
Menyelusuri perjalanan plot naskhah ini, ternyata memori silam tidak dapat tidak, segera mencetuskan ingatan terhadap filem-filem yang muncul sebelum ini – The Matrix, The Terminator, Watchmen, Independence Day dan Life On Mars.
Namun Bryan Singer selaku pengarah X-Men: Days of Future Past , bijak menggaul dan mengadun segala elemen yang diterap daripada filem-filem tersebut untuk menjadikan suatu hasil yang eksklusif dan segar, sekali gus tidak lapuk, khusus untuk naskhah terkini X-Men itu.
Naskhah ini sebenarnya berpotensi untuk mengembalikan X-Men ke garisan pemula apabila kesemua watak yang meninggal dunia dalam karya-karya X-Men sebelum ini termasuk Jean Grey (Famke Jenssen) dan Cyclops (James Marsden) dan sudah tentu Storm berkemungkinan untuk kembali hidup. Sudah tentu dengan syarat, misi untuk mengubah sejarah silam itu sukses dicapai Wolverine.
Inilah kelebihan naskhah X-Men kali ini, kerana ia menimbulkan rasa tidak puas hati. Bukan kerana apa, tetapi disebabkan perasaan ingin tahu yang membuak-buak tentang apakah yang bakal dipaparkan menerusi sekuel X-Men selanjutnya, atau mungkin juga ia akan ditonjolkan dalam bentuk prekuel, siapa tahu?














