Motosikal

DUCATI SUPERSPORT – LANCAR PADA SEPTEMBER, RM80K!

Sebelum ini, memang sudah ada laporan yang menyatakan bahawa Ducati Malaysia atau Next Bike akan memperkenalkan enam model baharu ke pasaran tempatan pada tahun ini.

Pastinya, model yang paling dinantikan ialah Ducati Supersport dan Supersport S yang merupakan ‘bayangan’ kepada superbike berkuasa tinggi, Panigale. Dibawa masuk dari  Thailand, harganya dikatakan lebih mampu milik iaitu sekitar RM80,000 seunit.

Sebagai perbandingan, model 959 Panigale berharga RM99,999 sebuah. Manakala varian paling tinggi, 1299 Panigale S memerlukan anda mengeluarkan wang sehingga RM190,000 untuk memilikinya!

Disifatkan sebagai baby Panigale, model itu akan menarik perhatian peminat Panigale yang tidak memerlukan jentera terlalu berkuasa. Malah, posisi tunggangannya juga lebih relaks dan tidak terlalu ke depan atau membongkok.

“Sasarannya ialah peminat superbike yang tidak terlalu ekstrem. Lebih kepada untuk kegunaan berulang-alik pergi kerja atau tunggangan santai pada hujung minggu.  Namun, superbike ini masih mampu beraksi dan sesuai dibawa ke track day.

“Supersport juga dijangka dapat menarik minat lebih ramai penunggang wanita kerana reka bentuknya yang cantik. Selain posisi tempat duduk yang rendah,” kata Naib Presiden II Next Bike, Fazli Hisham.

Fazli ditemui media dalam program Ducati Penang Heritage Ride 2017 anjuran Ducati Penang yang berakhir semalam.

Selain Supersports, Ducati Malaysia bakal membawa semula model entry level Ducati Monster 797. Sebelum ini, ia pernah menawarkan Monster 795 dan 796. Kemudian, varian roadster tersebut memasuki segmen pertengahan serta high end menerusi Monster 821, Monster 1200 S dan Monster 1200 S. Harga pun tidak murah, bermula RM66,999 sehingga RM160,999 seunit.

Dengan pengenalan Monster 797, peminat-peminat Monster yang sebelum ini mungkin kurang berkemampuan akan berpeluang membeli 797 kerana harganya dikatakan lebih murah, bermula hampir RM50,000 sebuah. Ducati Malaysia juga menjangkakan lebih banyak Monster 797 dapat dijual nanti.

Pelan agresif Ducati Malaysia untuk melakukan come back turut menyaksikan model Scrambler Desert Sled dan Scrambler Café Racer bakal diperkenalkan pada pertengahan tahun ini. Ia merupakan versi tambahan untuk Scrambler sedia ada seperti Icon, Urban Enduro dan Sixty2.

Ditawarkan pada harga sekitar RM60,000 seunit, jentera tersebut pasti dapat menarik perhatian peminat motosikal moden klasik tempatan. Tambahan pula Ducati Malaysia akan melipatgandakan aspek pemasaran untuk mempromosikan scrambler Ducati sebagai satu gaya hidup pada tahun ini.

Satu lagi model baharu yang akan dilancarkan ialah Multistrada 950. Ia dijangka menjadi tarikan utama kepada peminat jentera dual purpose yang inginkan kuasa motor besar dan tangkas, tetapi bersaiz sedikit kecil. Ia akan ditawarkan pada harga yang sangat menarik iaitu kurang RM90,000 seunit.

Berbanding 300 unit yang berjaya dijual tahun lalu, Ducati Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 500 unit pada tahun ini.

“Kami mahu lebih ramai orang beli Ducati. Buat masa sekarang Ducati menguasai sekitar empat peratus pasaran motosikal premium. Kami sasarkan penguasaan sebanyak 10 peratus dalam masa empat tahun atau jualan 1,000 unit motosikal setahun,” tambah Fazli yang memberitahu sekarang terdapat sekitar lebih 3,000 pemilik motosikal Ducati di Malaysia.

Kalau berada di wilayah utara dan anda berminat untuk memiliki sebuah Ducati, jangan risau. Pergi sahaja ke Ducati Penang yang dikendalikan oleh Sheng Fatt Superbike Sdn. Bhd.

Anda mesti puas hati dengan  aspek after sales mereka. Cubalah..

BACA: BABY PANIGALE – DUCATI SUPERSPORT 2017

BACA: EDISI ISTIMEWA 666 UNIT DUCATI DIAVEL DIESEL

GALERI:

 

Google ads
Back to top button