Buletin

LEMON LAW PERLU SEGERA DIWUJUDKAN – PERSATUAN PENGGUNA JALAN PERAK

Persatuan Pengguna Jalan Perak menyokong supaya kerajaan segera mewujudkan undang-undang khas dikenali sebagai Lemon Law bagi memastikan hak pembeli kenderaan dilindungi di negara ini.

Pengerusinya, Mustafar Rahadi berkata, undang-undang khusus seperti itu amat penting dalam memastikan pelanggan yang membeli kenderaan mendapat pembelaan sewajarnya jika ditipu atau terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan kenderaan baharu dibeli.

Menurut beliau, walaupun isu kerosakan kenderaan yang baharu dibeli terpencil dan jarang berlaku, namun kewujudan undang-undang berkaitan dapat memastikan hak pembeli terbela serta memastikan pihak berkaitan lebih bertanggungjawab.

“Kami meneliti isu yang berbangkit mengenai pelanggan yang tidak sampai lapan jam terima kereta baharu dibeli sudah rosak dan terpaksa menanggung kerugian kerana terpaksa membayar pinjaman walaupun kereta tidak dapat digunakan.

“Memandangkan undang-undang ini sudah pun digunakan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Filipina dan negara-negara Eropah, jadi amat wajar undang-undang baharu diwujudkan di negara ini bagi memastikan tiada pelanggan yang membeli kenderaan ini teraniaya akibat kecuaian atau kesilapan daripada pihak lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafar juga menggesa siasatan secara terperinci dijalankan berhubung isu Perodua Bezza, didakwa rosak kerana terdapat benda asing seperti gula di dalam enjin kenderaan tersebut.

Katanya, berdasarkan maklum balas Perodua berhubung isu tersebut, sudah pasti syarikat kenderaan berkenaan sudah mengambil langkah terbaik menyelesaikan isu tersebut.

Jelasnya, punca kenderaan tersebut rosak memerlukan siasatan lebih mendalam untuk mengenal pasti masalah sebenar dan sekali gus membolehkan tindakan lanjut dilakukan bagi mengelak kejadian sama berulang. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button