
LEONA CHIN BAWA MUDAH RACING KE TAHAP LEBIH TINGGI DALAM SUKAN PERMOTORAN
MUDAH Racing merancang untuk berada pada tahap yang lebih tinggi dalam sukan permotoran, menerusi penglibatan dalam program dan aktiviti yang lebih aktif. Pasukan yang diterajui Leona Chin itu bakal beraksi pada hujung minggu ini, di perlumbaan sulung Vios Challenge One-Make Race, Batu Kawan, Pulau Pinang.
Dengan pengalaman luas dalam pelbagai bidang permotoran sama ada trek mahu pun drift, Leona akan menggunakan pengalaman tersebut bersama pasukannya untuk memberikan cabaran hebat kepada para pesaing lain dalam perlumbaan yang akan diadakan pada 12 dan 13 Ogos nanti.
BACA: 24 PELUMBA KINI DIIKTIRAF – BAKAL BERSAING DALAM PERLUMBAAN JALANAN VIOS CHALLENGE
Selain terlibat dalam aktiviti permotoran di Malaysia, Leona turut bersaing di luar negara seperti Thailand, Singapura dan China. Kejayaan beliau di tempat kedua keseluruhan dalam Renault Clio Cup China Series tahun lalu, merupakan pencapaian terbaik seorang pelumba wanita di Asia.
Leona amat cenderung kepada kereta dan sukan permotoran sejak zaman remajanya. Bermula sekadar minat, pengalaman dalam sukan drift membuatkannya begitu teruja, dan mengubah diri beliau ketika itu.
Ketika kehadirannya dalam sukan drift mula meningkat, beliau telah menarik perhatian beberapa syarikat yang melihat potensi kerjasama dengan jenama mereka. Red Bull antara yang pertama menawarkan peluang menyertai pasukannya, sekaligus membuka ruang kepada Leona mengambil bahagian dalam dunia perlumbaan.
Semakin banyak Leona berlumba, semakin ingin beliau mencuba sukan permotoran lain. Dia pernah menyertai acara rali, gymkhana, autocross dan go-kart. Boleh dikatakan, apa saja yang berkaitan dengan jentera empat roda, Leona pasti akan mencubanya bagi meneroka batas kemampuan yang boleh beliau lakukan.
“Matlamat saya adalah untuk membangunkan diri menjadi pelumba yang serba boleh,” katanya. “Saya pernah digelar ‘gadis drifter’. Tapi kini, saya ingin dikenali sebagai atlet permotoran.”
Dalam peranannya sebagai pengurus pasukan MUDAH Racing, Leona akan memastikan anggota pasukan memberikan yang terbaik biarpun berdepan tekanan dalam persaingan. “Ia tentang semangat untuk tidak berputus asa. Bagi saya, jika mudah berputus asa, bermakna saya kalah sebelum saya bermula. Semuanya harus maju ke depan dan lakukan yang terbaik.”
Menerusi aktiviti permotoran, Leona telah mendapat status selebriti dan sering ditawarkan oleh pihak syarikat untuk mewakili atau mempromosikan jenama dan produk mereka. Sebagai contoh, beliau telah bekerjasama dengan Mitsubishi Motors Malaysia, yang menyaksikan beliau menguji keupayaan Mitsubishi Triton dalam situasi yang pelbagai.
Seperti kebanyakan pelumba yang telah mencapai tahap tertentu dalam karier mereka, Leona ingin berkongsi pengalaman tersebut bersama yang lain. Dia tahu bagaimana menjadi pendatang baru dan pernah melaluinya. Bersama rakan-rakan, beliau kini menganjurkan acara yang boleh membantu mereka yang berminat untuk memulakan kerjaya dalam sukan permotoran.
“Saya ingin mewujudkan peluang kepada pendatang baru, memperolehi asas dalam bidang permotoran seperti yang saya lakukan. Saya mahu memberi mereka langkah pertama, untuk membina karier dalam dunia perlumbaan,” katanya.
-PAK MAUN-