Artikel Pilihan

PROTON BAWA KAMI KE SHANGHAI UNTUK KENALI GEELY DENGAN LEBIH DEKAT– SIAPA SEBENARNYA MEREKA?

Sebelum ni ramai yang buat lawak pasal Geely ni kononnya syarikat China ntah apa-apa, tak pernah dengar pun, tak ada nama lain ke? Dan macam-macam lagi.

Lepas tu ada pula suara-suara sumbang yang mengatakan nama Proton akan ditukar dan negara kita akan hilang identiti. Kemon la bang, dalam bisnes mana boleh nak patriotik sangat, bangga tu memang la bangga. Tetapi survival ataupun kelangsungan hidup adalah jauh lebih penting dalam dunia perniagaan.

Lagipun ada ke syarikat kereta yang betul-betul milik satu-satu negara sekarang? Volvo, Rolls-Royce, Lamborghini semua dah bertukar tangan. Mitsubishi pun dah kena jual. Bahkan MINI kebanggaan British pun dan dapat kat Jerman. Malah masa Proton beli Lotus dulu pun rasanya tak ada rakyat Britain yang bising (ye lah masa tu mana ada media sosial lagi).

Okey kembali kepada sejarah Geely. Nama penuh syarikat ini ialah Zhejiang Geely Holding Group Ltd. ataupun ZGH. Ia baru berusia 30 tahun (lebih muda dari Proton) tetapi berkembang pesat sebagai sebuah syarikat global dengan operasinya merangkumi pembuatan kenderaan, R&D, studio rekaan, selain jualan dan servis.

BACA: GEELY DAN VOLVO JALIN KERJASAMA TERBARU, KEMBANGKAN KERJASAMA LEBIH STRATEGIK

Ditubuhkan pada tahun 1986 dan beribu pejabat di Hangzhou, China, ia merupakan syarikat kumpulan milikan swasta yang terdiri daripada gabungan Geely Automotive Group, Volvo Car Company dan Geely Commercial Vehicles Company. Mereka mempunyai studio rekaan sendiri dan cukup komited untuk menceburi bidang pembuatan kenderaan cekap tenaga. Selain teknologi pemanduan autonomous di masa hadapan.

Jangan main-main kerana kumpulan syarikat ini, ia berjaya memasarkan hampir 1.3 juta unit kenderaan dalam tahun 2016. Malah ZGH juga tersenarai dalam Fortune 500 sejak enam tahun lepas.

Saksikan kronologi perkembangan syarikat ini dalam masa tiga puluh tahun:

• 1986 – Li Shufu, pengasas ZGH memulakan perniagaan pembuatan komponen peti sejuk.
• 1994 – mula menceburi bidang pembuatan motosikal.
• 1996 – Geely Co. Ltd ditubuhkan.
• 1997 – Geely.Co.Ltd memasuki dunia industri automotif.
• 1998 – Kereta pertama Geely dilancarkan di Linhai, Zhejiang.
• 2001 – Geely Co. Ltd. menerima lesen daripada kerajaan untuk menjadi syarikat kereta swasta pertama di China.
• 2002 – Geely Co. Ltd. memasuki senarai sepuluh syarikat pengeluar kenderaan terbaik China.
• 2003 – Geely Co. Ltd. menukar nama kepada Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (ZGH).
• 2005 – ZGH disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong.
• 2006 – ZGH menjadi pemegang saham terbesar Manganese Bronze Holding.
• 2007 – ZGH melancarkan transformasi daripada mengeluarkan kereta-kereta murah kepada model lebih berkualiti dan berteknologi tinggi.
• 2009 – ZGH membeli syarikat Australia, Drivetrain Systems International Pty Ltd. (DSI).
• 2010 – ZGH membeli Volvo Car Company dan menjadi syarikat pengeluar automotif multinasional pertama di China.
• 2012 – ZGH tersenarai dalam Fortune 500.
• 2013 – ZGH dan Volvo membuka sebuah pusat R&D di Gothenburg, Sweden.
• 2014 – ZGH lancar strategi baharu yang dinamakan “One Geely”.
• 2015 – ZGH labur 300 juta pound untuk kilang pengeluaran baharu dan pusat R&D.
• 2016 – ZGH lancar Geely Commercial Vehicles dan LYNK &CO.
• 2017 – ZGH berjaya membeli 49.9 peratus pegangan dalam Proton dan 51 peratus pegangan dalam Lotus.

R&D
Inovasi teknologi menjadi teras dalam budaya bekerja ZGH. Justeru, mereka melakukan proses penyelidikan dan pembangunan dalam memastikan produk yang dihasilkan lebih universal untuk pasaran global.

Subsidiari ZGH mengoperasikan pusat R&D dan studio rekaan mereka sendiri. Geely Auto Group kini mempunyai empat studio rekaan di China, UK dan Sweden. Mereka mempunyai pusat R&D di Sweden, China Euro Vehicle Technology Center (CEVT) yang merupakan usahasama antara Geelt Auto Group dan Volvo Cars Company bertujuan menghasilkan rekaan dan komponen khusus untuk masa hadapan bagi kedua-dua jenama. Volvo Cars juga mempunyai dua lagi pusat R&D iaitu di Denmark dan China.

Volvo Cars Company juga merupakan perintis dan pendahulu dalam technology pemanduan autonomous. Adalah menjadi misi mereka menjelang tahun 2020 bagi memastikan tidak ada sesiapa pun akan cedera parah ataupun terbunuh disebabkan kereta-kereta baharu keluaran mereka di masa akan datang.

KENDERAAN TENAGA BAHARU

ZGH juga merupakan perintis bagi kenderaan menggunakan tenaga baharu (NEV). Malah Volvo sudah berusaha untuk membangunkan NEV selama 40 tahun dengan pelbagai model baharu diperkenalkan khususnya menggunakan tenaga elektrik. Kini, mereka berusaha untuk mengeluarkan kenderaan elektrik sepenuhnya dengan saiz yang lebih kecil dan bakal memasuki pasaran menjelang 2019.

Geely Auto Group turut melancarkan kempen “Blue Geely” pada November 2015 sebagai melambangkan komitmen mereka dalam pembangunan dan pemasaran kenderaan NEV.

REKABENTUK

Geely Auto mempunyai empat pusat rekabentuk di Shanghai, Gothenburg, Barcelona dan California bagi membentuk jaringan rekaan global. Kesemuanya merupakan gandingan pereka berpengalaman dan ternama diketuai oleh Peter Horbury yang sememangnya satu nama besar dalam bidang rekabentuk kenderaan.

Sejumlah 400 orang pereka daripada 19 negara berkerja di bawah bumbung Geely Auto. Volvo Cars Company sendiri mempunyai tiga pusat rekaan mereka sendiri di Gothenburg (Sweden), Camarillo (USA) dan Shanghai (China).

PERKHIDMATAN PERKONGSIAN KENDERAAN (RIDE HAILING)

ZGH turut melabur dalam Caocao, perkhidmatan perkongsian kenderaan profesional di China. Caocao menyediakan kenderaan NEV untuk perkhidmatan perkongsian kenderaan mereka dan bercadang untuk membesarkan lagi perkhidmatan mereka ke bandar-bandar seluruh China. Buat masa sekarang mereka beroperasi di lima bandar besar di China dengan kapasiti 10,000 buah kereta.

Kurang jelas? Ia seperti Uber di China

Bagi yang rajin membaca anda akan dapati yang Geely dan ZGH ni bukalah syarikat biasa-biasa sebenarnya. Sebelum ini, kita hanya mendengar sahaja namun lawatan ke pusat penyelidikan, ibu pejabat, kilang dan pusat rekabentuk mereka di beberapa bandar utama China pada minggu lepas benar-benar membuka mata kami.

Bagi kami langkah yang diambil Proton sememangnya satu usaha yang tepat.

GALERI

Google ads
Back to top button