Artikel PilihanBuletin

LINDSAY LOHAN GAGAL SAMAN PERMAINAN GRAND THEFT AUTO

Jika anda seorang kaki kereta dan juga kaki game rasanya mesti pernah main Grand Theft Auto ataupun GTA kan? Inilah antara games yang diminati ramai kerana keganasannya. Populariti permainan ini mula memuncak sejak dari GTA 2.

Masa mula-mula diperkenalkan ia kurang menarik kerana masih menggunakan konsep 2D. GTA 2 sudah menggunakan konsep 3D dan hasilnya memang meletup. Seperti mana saya katakan, permainan memang ganas kerana namanya pun dah game curi kereta.

Pergaduhan, pembunuhan, pukul orang, bunuh orang, bom sana, bom sini sebut je apa anda nak buat, semua boleh. Setakat ni belum ada lagi adegan main galah panjang dalam games ni. Sebab itulah ramai yang mendakwa permainan ini punca ramai remaja dan kanak-kanak menjadi ganas. Tapi dah sepuluh tahun lebih saya main games ni, seekor kucing pun tak pernah saya bunuh.

Cerita ini pun berkait dengan games GTA juga. Tapi kali ini cerita syarikat pembuat games, Rockstar Games kena saman. Saman menyaman memang sudah menjadi budaya di Amerika Syarikat. Inilah salah satu cara buat duit di sana.

gran theft auto lindsay lohan (2)

Antara yang menarik ialah aktres Lindsay Lohan yang telah menyaman syarikat Rockstar Games kerana didakwa menggunakan wataknya tanpa izin untuk karektor ‘Lacey Jonas’ dalam permainan GTA V. Takkan tak kenal Lindsay Lohan? Alah awek yang berlakon dalam cerita Volkswagen Beetle Herbie Fully Loaded tu. Setelah melalui proses perbicaraan yang panjang dakwaan itu akhirnya digugurkan.

Dakwaan dikenakan terhadap Rockstar Games kerana kononnya mereka menggunakan watak Lohan tanpa izin di dalam perisian Grand Theft Auto V. Mereka juga didakwa menggunakan watak itu untuk tujuan promosi dan pemasaran. Kes bagaimanapun digugurkan terus kerana sehingga hari dikatakan tiada undang-undang yang menyatakan tidak boleh melakukan parodi watak seseorang di dalam permainan video. Siapa kata undang-undang manusia ni lengkap kan?

Mahkamah di Manhattan juga menyatakan permainan video ini mempunyai jalan cerita yang unik, watak, dialog dan suasana yang digabungkan dengan kemampuan seorang pemain untuk memilih cara permainan mereka menjadikan ia cerita rekaan dan satira.

Cik Lohan kita ni dikatakan dah lama kecoh pasal isu ini sejak dari tahun 2013 tetapi menjadi lebih popular pada 2014 bila beliau nekad memfailkan saman tersebut. Mungkin dia rasa dia sudah tidak sepopular dulu jadi dengan menyaman keadaan boleh berubah.

GTA

Karektor yang dimaksudkan, Lacey Jonas yang dikatakan menyerupai beliau adalah karektor yang agak menonjol dengan mengenakan bikini merah dan muncul dalam beberapa bahan promosi Grand Theft Auto V dan menunjukkan lambang keamanan. Lohan memang sudah lama mendakwa watak itu meniru beliau tetapi ramai yang menyangkal dakwaan itu.

Sebelum ini, sekitar Mac tahun ini, seorang hakim menyatakan yang kes ini tidak akan digugurkan. Tetapi setelah melalui tempoh perbicaraan yang cukup panjang, akhirnya ia tidak memihak kepada Lohan. Namun ramai meramalkan ia bukan penghujungnya bagi Lohan kerana beliau kemungkinan besar akan kembali dengan bukti-bukti yang hujahan baru.

Sebenarnya bukan setakat Lohan sahaja tetapi seorang lagi aktres, Karen Gravano yang mendakwa perwatakan beliau digunakan untuk watak Mob Wives juga gagal dalam saman terhadap Rockstar Games. Kesian.

Tapi fikir punya fikir baru saya perasan yang karektor Dominic Toretto dalam The Fast and The Furious tu pun 88 peratus menyerupai saya. Dah ramai kawan saya yang bagitau tetapi saya buat tak tau je. Ni tengah bincang dengan peguam Mekanika ni, nak saman ke tak? Maklumlah kat Malaysia ni balik-balik ahli politik yang menyaman, ibu bapa saman cikgu, anak saman bapak, bapak saman anak. Kita tambah sikit variasi. Kalu menang bolehlah beli Mustang baru sebiji.

Hmmm…

Rilek laa… janganlah nak serius sangat.

Tapi cerita Lindsay Lohan tu betul lah, bukan tipu.

Google ads
Back to top button