Buletin

KANAK-KANAK LELAKI TERIMA HADIAH NISSAN GT-R R35 DI ULANGTAHUN KE-10

Jika sebelum ini seorang remaja berusia 21 tahun diberikan kejutan pada hari jadi dengan menerima sebuah kereta Porsche, baru-baru ini kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun pula menerima Nissan GT-R R35 sebagai hadiah kelahirannya.

Menerusi perkongsian oleh pengguna TikTok 9tripleone, video tersebut memaparkan sebuah lori kontena bertutup sambil diiringi oleh beberapa buah Nissan GT-R R35 menuju ke sebuah lokasi, di mana sambutan hari jadi kanak-kanak bernama Amaran disambut.

Sejurus sampai, seseorang memakai kostum Optimus Prime menghampiri Amaran dan menyerahkan sebuah kotak berisi kunci kereta.

Amaran hanya mampu tersenyum menerima hadiah itu sebelum dia menghidupkan enjin. Reaksinya jelas tidak menyangka akan menerima sebuah Nissan GT-R R35.

“Selamat hari jadi Amaran, GT-R ini hadiah buat hari jadi awak. Okay, gembira?” ujar bapa kanak-kanak lelaki itu.

Sambutan hari jadi kanak-kanak itu turut disertai oleh keluarga serta rakan-rakan dan di hujung video tersebut, tetamu yang hadir sempat mengambil gambar untuk diabadikan sebagai kenangan.

Ramai pengguna TikTok menyatakan di ruangan komen bahawa kanak-kanak itu bertuah kerana dihadiahkan kereta Jepun yang menjadi buruan satu dunia.

Untuk pengetahuan, model Nissan GT-R R35 telah ditamatkan penjualannya secara berperingkat untuk memberi laluan kepada model baharu yang bakal dikuasakan oleh enjin hibrid untuk memenuhi standard piawaian pelepasan di beberapa buah negara Eropah.

Di sini, kereta terpakai dalam rangkaian Nissan GT-R boleh menelan kos antara RM283,000 hingga RM1,180,000 bergantung kepada model dan tahun pembuatan.

Google ads
Back to top button