Buletin

ANAK SYARIKAT GEELY, GEOMETRY HASILKAN M2 UNTUK SAINGI WULING MINI EV

Geometry ialah jenama EV di bawah Geely Group yang diperkenalkan khas untuk pasaran China. Kini, Geometry tampil dengan M2 untuk memberi saingan kepada model EV mini lain seperti Wuling Mini EV, Dongfeng Fengguang Mini EV dan Chery QQ Ice Cream.

Walaupun Geometry merupakan jenama tersendiri, kita masih boleh lihat perkataan Geely di bahagian belakangnya. Jadi, tidak mustahil jika Geely berhasrat untuk memasarkannya di bawah nama Geely bagi pasaran eksport.

Reka bentuk M2 agak ranggi dengan tema retro-moden, terutama sekali rekaan lampu hadapan berbentuk bulat.

Dari segi dimensi, jentera dua pintu dengan empat tempat duduk hanya berukuran 3,065mm panjang, 1,522mm lebar dan 1,600mm tinggi, manakala jarak antara roda adalah 2,015mm. Berat Geometry M2 hanya 715Kg dan menggunakan tayar bersaiz 13 inci.

Geometry M2 ditawarkan dengan rim besi, selain mempunyai bumbung panoramik besar yang meliputi hampir keseluruhan bahagian bumbungnya.

Papan pemuka dilengkapi dengan satu skrin, sementara paparan untuk pemandu mungkin diletakkan pada ruang atas lajur stereng.

Slot pengecasan tersorok di belakang logo Geely berwarna perak, logo sama diguna pakai oleh model Geometry yang lain.

Terdapat dua pilihan trenkuasa ditawarkan iaitu 27hp dan 41hp. Motor elektrik dipadankan dengan pek bateri lithium iron fosfat, namun kapasiti bateri tidak diketahui.

Pembeli Geometry M2 ditawarkan dengan pilihan beberapa warna menarik dan hanya akan dilancarkan di China pada suku keempat tahun ini. Ia dijadual melakukan debut pada acara Guangzhou Auto Show November depan.

Google ads
Back to top button