Buletin

LORI EV HYUNDAI PORTER II UNTUK KOREA – CAS LAGI LAJU, JARAK LEBIH JAUH

Agenda kenderaan elektrik (EV) di dalam negara perlu diperluaskan ke sektor perindustrian.

Kerajaan sudah melakukannya untuk sebahagian pengangkutan awam dan kini perhatian mendalam perlu diberi kepada lori kecil dan besar yang berada di atas jalan raya.

Faktor utama semestinya sifar emisi dan untuk udara lebih bersih terutama sekali semasa di lampu isyarat atau semasa menunggang di belakang kenderaan berat.

Selain insentif, penawaran juga perlu tersedia untuk disambut pemain industri. Di antara negara yang memberi tumpuan pada lori elektrik adalah Korea.

Hyundai baru saja memperkenalkan Porter II Electric 2025 dengan pengecasan lebih pantas dan jarak pemanduan lebih jauh.

Model terbaru ini direka berdasarkan maklum balas pelanggan, menawarkan peningkatan dalam kelajuan pengecasan, jarak pemanduan kecekapan bateri, dan kemudahan keseluruhan.

Dengan penambahbaikan ini, Hyundai berusaha untuk menyediakan penyelesaian yang lebih cekap dan praktikal bagi perniagaan di kawasan bandar dan luar bandar.

Peningkatan Utama & Ciri-Ciri Baharu

  • Pengecasan pantas lebih laju – Kini hanya 32 minit (10% – 80%) dengan pengecas 150 kW, berbanding 47 minit sebelum ini

  • Jarak pemanduan lebih jauh – Kini 217 km sekali cas, meningkat 6 km berbanding model sebelumnya

  • Kecekapan tenaga meningkat – Penggunaan tenaga 3.1 km/kWh dengan bateri 60.4 kWh

  • Peningkatan kelegaan tanah bateri – Meningkat 10 mm bagi memudahkan pemanduan di jalan tidak berturap

  • Pencahayaan tambahan di port pengecasan – Memudahkan pengecasan pada waktu malam

Peningkatan Kelajuan Pengecasan

Kelajuan pengecasan merupakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi kepuasan pelanggan.

Untuk model 2025 , Hyundai meningkatkan ketebalan pendawaian kabel voltan tinggi dan membolehkan lebih banyak arus elektrik dihantar ke bateri.

Hasilnya, masa pengecasan pantas dari 10 sehingga 80 peratus dikurangkan kepada hanya 32 minit dengan pengecas 150 kW.

Jarak Pemanduan Lebih Jauh & Penambahbaikan Bateri

2025 Porter II Electric dilengkapi bateri litium-ion berkapasiti 60.4 kilowatt-jam (kWj) yang mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi serta reka bentuk yang lebih ringan.

Ini membolehkan peningkatan jarak pemanduan sebanyak enam kilometer (km), menjadikan jumlah jarak pemanduan penuh sebanyak 217 km dalam keadaan pemanduan biasa.

Bagi meningkatkan kesesuaian Porter untuk penggunaan luar bandar, Hyundai turut menaikkan kelegaan bumi bateri sebanyak 10 milimeter (mm), sekali gus mengurangkan risiko hentakan pada permukaan jalan yang tidak rata.

Di samping itu, lampu LED telah ditambah pada port pengecasan bagi memudahkan pengecasan dalam keadaan gelap.

Pilihan Varian Baharu Dengan Harga Lebih Mampu Milik

Bagi mengurangkan beban kewangan pelanggan dan menawarkan lebih banyak pilihan, Hyundai memperkenalkan varian baharu yang lebih ekonomi iaitu Style Special.

Varian ini berharga 1.35 juta won (RM4,127) lebih murah daripada Smart Special dan dilengkapi ciri-ciri berikut:

  • Tingkap kaca jernih
  • Cermin sisi hitam tanpa cat dengan fungsi pemanas dan pelarasan elektrik
  • Pelapik pelindung pada ruang kargo untuk mengurangkan risiko karat
  • Stereng boleh condong (tanpa pemanas)
  • Kerusi  pemandu dengan fungsi condong dan gelongsor (tanpa pemanas)
  • Pengecasan pantas (100 kW): 32 minit (10% → 80%)
  • Pengecasan biasa (7.2 kW): 8 jam 30 minit (10% → 100%)
  • Kecekapan bahan api (gabungan/dalam bandar/lebuh raya): 3.1 / 3.6 / 2.7 km/kWj
  • Jarak pemanduan (dalam bandar/lebuh raya): 248 km / 178 km
  • Voltan & kapasiti bateri: 334V / 180.9Ah
  • Berat: 1,915 kg

Hyundai turut menyediakan program EV Biz Care untuk pemilik Porter II Electric yang menawarkan pilihan faedah seperti kredit pengecasan, pemasangan pengecas rumah, atau aksesori pengecasan.

Program ini memberi fleksibiliti kepada pelanggan berdasarkan keperluan pengecasan mereka, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

Beberapa perkhidmatan tambahan turut disediakan seperti perlindungan kebakaran, pemeriksaan keselamatan tahunan selama 10 tahun dan penyelesaian langganan pengecasan dan perkhidmatan pengecasan bergerak.

Harga 2025 Porter II Electric

  • Style Special – 43.25 juta won (RM132,219)
  • Smart Special – 44.6 juta won (RM136,346)
  • Premium Special – 46.2 juta won (RM141,237)

Spesifikasi Porter II Electric 2025

  • Dimensi: 5,105 mm (P) × 1,740 mm (L) × 1,970 mm (T)
  • Jarak gandar: 2,810 mm
  • Jarak roda: 1,485 mm
  • Ruang kargo: 2,860 mm (P) × 1,630 mm (L) × 355 mm (T)
  • Tinggi lantai: 800 mm
  • Kuasa: 135 kW, Tork: 395 Nm
  • Bateri: 60.4 kWj
  • Kecekapan tenaga: 3.1 km/kWj
  • Jarak pemanduan: 217 km
Google ads
Back to top button